CAT-tegories:

Rabu, 24 November 2010

korban ibrahim dan korban jesus


Soalan:


Kalau orang Islam tiada masalah untuk menerima kisah Nabi Ibrahim diperintahkan oleh Tuhan untuk mengorbankan anaknya, kenapa orang Islam tak boleh menerima kisah Tuhan mengorbankan anaknya Jesus?


Jawapan:



Kedua-dua al-Quran dan Bible menyebutkan tentang kisah Nabi Ibrahim (Abraham) a.s. diperintahkan untuk mengorbankan anaknya. Bezanya, dalam agama Kristian dipercayai bahawa anak yang diperintahkan untuk dikorbankan itu adalah Ishak a.s. (Isaac), manakala dalam al-Quran disebutkan bahawa yang diperintahkan untuk dikorbankan adalah Ismail a.s. (Ishmael).

Menurut agama Kristian, Jesus adalah anak Tuhan yang dikorbankan di atas salib bagi menebus dosa seluruh umat manusia. Namun, dalam Islam, Jesus diselamatkan oleh Allah daripada disalib tetapi digantikan dengan orang yang menyerupainya.

Bagi tujuan perbincangan ini, kita ketepikan isu siapakah sebenarnya yang dikorbankan oleh Nabi Ibrahim. Isu utama di sini adalah adakah perbandingan korban Ibrahim dan korban Jesus ini logik atau tidak.


1. Kerelaan


Ibrahim:


Dalam Bible disebutkan bahawa Nabi Ibrahim dengan rela hati mengorbankan anaknya.

When they reached the place God had told him about, Abraham built an altar there and arranged the wood on it. He bound his son Isaac and laid him on the altar, on top of the wood. Then he reached out his hand and took the knife to slay his son.
[Genesis 22:9-10]

Begitu juga dengan al-Quran:

Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia)
berusaha bersama-sama dengannya,
Nabi Ibrahim berkata:
"Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi
bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?".
Anaknya menjawab:
"Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu;
Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".

[as-Saffaat 37:102]

Jesus:

Menurut Bible, Jesus tidak rela dikorbankan!

“Father, if you are willing, take this cup from me; yet not my will, but yours be done.”
An angel from heaven appeared to him and strengthened him.
And being in anguish, he prayed more earnestly,
and his sweat was like drops of blood falling to the ground.

[Luke 22:42-44]

Malah, disebutkan semasa di atas salib, Jesus berteriak:

“Eli, Eli, lemasabachthani?”
(which means “My God, my God, why have you forsaken me?”)
[Matthew 27:46]


2. Hero



Ibrahim:

Dalam kes Ibrahim, baginda yang cuba mengorbankan anaknya dianggap sebagai hero.

The angel of the LORD called to Abraham from heaven a second time
and said,
“I swear by myself, declares the LORD,
that because you have done this and have not withheld your son, your only son,

I will surely bless you and make your descendants as numerous as the stars in the sky and as the sand on the seashore. Your descendants will take possession of the cities of their enemies,
and through your offspringall nations on earth will be blessed, because you have obeyed me.”
[Genesis 22:15-18]

Jesus:

Dalam kes Jesus, mereka yang bertanggungjawab mengorbankan Jesus tidak dianggap sebagai hero!

Salah seorang pengikut Jesus yang menyebabkan Jesus ditangkap oleh tentera Rom, iaitu Judas Iscariot dianggap sebagai pengkhianat!

Simon the Zealot
and
Judas Iscariot,
who betrayed him.
[Matthew 10:4]

Begitu juga dengan pendeta-pendeta yahudi yang mengakibatkan penyaliban Jesus. Mereka tidak dianggap sebagai hero!


3. Adakah mereka mati dikorbankan?


Ibrahim:

Menurut kedua-dua Bible dan al-Quran, anak Ibrahim a.s. tidak mati dikorbankan. Beliau diselamatkan oleh Tuhan dan digantikan dengan seekor haiwan ternakan.

Then he reached out his hand and took the knife to slay his son.
But the angel of the LORD called out to him from heaven, “Abraham! Abraham!”
“Here I am,” he replied.
“Do not lay a hand on the boy,” he said.
“Do not do anything to him. Now I know that you fear God,
because you have not withheld from me your son, your only son.”
Abraham looked up and there in a thicket he saw a ram caught by its horns.
He went over and took the ram and sacrificed it as a burnt offering instead of his son.
[Genesis 22:10-13]

Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu),
dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya
di atas tompok tanah,
(Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu
telah menjalankan perintah Kami),
Serta Kami menyerunya:
"Wahai Ibrahim!
"Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu".
Demikianlah sebenarnya Kami membalas
orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata;
Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;

[as-Saffaat 37:103-107]

Jesus:

Adakah Jesus mati disalib? Jawapan orang Kristian, “Ya!”


4. Perbandingan


Jelas sekali kedua-dua kisah ini tidak boleh dijadikan perbandingan.


5. Soalan kepada orang-orang Kristian


Sekiranya kedua-dua kisah ini ingin dijadikan perbandingan, berikut adalah soalan kepada orang-orang Kristian…

Jika orang-orang Kristian tiada masalah untuk menerima bahawa anak Ibrahim diselamatkan oleh Tuhan dan digantikan dengan korban lain, kenapa orang-orang Kristian ada masalah untuk menerima Jesus diselamatkan oleh Tuhan daripada disalib dan digantikan dengan orang lain??


Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan:
"Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah".
Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak menyalibnya,
tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa).
Dan Sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham,
mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu)
tentang menentukan (pembunuhannya).
Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain
daripada mengikut sangkaan semata-mata;
dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin.
[an-Nisaa’ 4:157]


Ahad, 14 November 2010

Makan, termakan dan cari makan


Entri saya yang paling mendapat hits dalam blog ini adalah entri yang bertajuk “ATTENTION!!!! senarai non-halal foods...Tlg fwd laju2 to our muslim friends!!". Dalam entri tersebut, saya ‘membedah’ sebuah email yang disebarkan secara meluas berkenaan produk-produk yang dikatakan mengandungi bahan-bahan haram. Sila rujuk di sini untuk membaca respons saya terhadap email tersebut.

Hits yang tinggi ini jelas menunjukkan bahawa kesedaran masyarakat kita dalam memastikan makanan yang diambil oleh mereka tidak mengandungi bahan yang haram adalah amat tinggi sekali. Rata-rata mereka sangat teliti dan sensitif dalam urusan makanan. Mereka bukan sahaja tidak mahu makan makanan haram, malah mereka juga takut termakan makanan haram.

Makan vs cari makan


Saya teringat ketika sedang menikmati hidangan makanan tengahari bersama Sheikh Dr. Abdul Karim Turey, seorang pakar tafsir al-Quran dari Ivory Coast beberapa tahun lepas, beliau berkata, “Saya hairan melihat ramai orang sibuk meneliti atau mencari-cari samaada makanan yang mereka makan mengandungi bahan yang haram atau tidak… tetapi mereka seperti tidak kisah dari mana sumber makanan (harta) mereka… seperti adakah daripada rasuah, riba’ dan sebagainya.”




Apa yang dimaksudkan oleh Syeikh Dr. Abdul Karim itu bukanlah bermakna kita tidak perlu menjauhi makanan yang haram. Hukumnya adalah jelas dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Namun yang dimaksudkan adalah umat Islam sering terlepas pandang perkara yang jauh lebih besar dan lebih utama, iaitu sumber makanan (harta) itu sendiri! Sedangkan, jika diteliti, dalil-dalil tentangnya adalah lebih berat dan disertai dengan celaan bagi mereka yang melanggarnya.

Sebagai contoh, dalam isu makanan, ramai orang sangat sensitif sehingga sering kali melampau daripada yang sepatutnya. Tetapi dalam masa sama, mereka seperti tidak kisah bersekongkol dengan riba’, samaada melalui pelaburan, pinjaman, penggunaan kad kredit dan sebagainya. Sedangkan riba’ termasuk dalam kategori DOSA BESAR!

Dalam al-Quran disebutkan bahawa Allah dan RasulNya telah mengisytiharkan perang terhadap mereka yang tidak meninggalkan riba’.

Firman Allah:

“Maka sekiranya kamu tidak berbuat demikian (meninggalkan riba’)
maka ketahuilah akan adanya peperangan daripada Allah dan RasulNya.
Dan jika kamu bertaubat , maka bagi kamu (yang sebenarnya) adalah pokok harta kamu
yang asal. (Dengan itu) kamu tidak menzalimi dan tidak pula dizalimi.”
[al-Baqarah 2:279]


Satu lagi contoh adalah menipu dalam mencari harta.


Rasulullah SAW pernah berjalan melintasi (sebuah kedai) makanan.
Maka baginda memasukkan tangannya ke dalam makanan tersebut,
ternyata jari-jarinya terasa sesuatu yang basah (makanan itu sudah rosak).
Maka baginda bertanya,
“Apakah ini wahai pemilik makanan?”
Dia menjawab,
“Ia telah basah kerana terkena air hujan ya Rasulullah!”
Rasulullah membalas,
“Mengapa kamu tidak meletaknya di bahagian atas makanan
supaya boleh dilihat oleh orang ramai
(dan mengetahui bahawa ia telah rosak)?

Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari golonganku.”
[Sahih Muslim, 102]

Bersandarkan hadis ini, sebahagian ulama’ menghukumkan bahawa mereka yang menghalalkan penipuan dalam mencari harta adalah kafir! Begitulah beratnya persoalan ‘cari makan’ ini menurut Islam.

Di dalam al-Quran, Allah mencela mereka yang menipu dalam timbangan:

“Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang,
(yaitu) orang-orang yang apabila menerima takaran
dari orang lain mereka minta dipenuhi,dan apabila mereka menakar atau menimbang
untuk orang lain, mereka mengurangi.”
[al-Muthaffifin 83:1-3]

Mungkin ramai yang menyangka bahawa menipu ini hanya berlaku bagi mereka yang terlibat dalam perniagaan semata-mata. Ini tidak benar. Penipuan ini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk.

Sebagai contoh, orang yang dibayar oleh majikan mereka untuk bekerja selama 8 jam sehari tetapi mereka ‘curi tulang’ dalam kerja mereka. Bukankah ini sama seperti ayat daripada surah al-Muthaffifin di atas? Apabila tiba masa mereka menerima gaji, mereka menuntut gaji mereka dibayar penuh, tetapi apabila bekerja, mereka bekerja kurang daripada yang sepatutnya.

Bagaimana pula halnya dengan orang yang menipu cuti sakit?

Bagaimana pula dengan mereka yang menipu ‘claim’?

Bagaimana pula dengan mereka yang menggunakan telefon pejabat untuk kegunaan peribadi?

Semua ini berlaku dengan cukup meluas dalam masyarakat kita. Namun mereka tidaklah begitu
sensitif terhadap isu ini jika dibandingkan dengan sensitifnya mereka terhadap isu berkaitan makanan.


Dalam perniagaan pula, sebahagian orang menjual barangan yang mempunyai kecacatan, namun kecacatan itu disembunyikan dan dijual pada harga biasa. Begitu juga dengan orang yang menjual barangan tiruan.

Terdapat juga kontraktor binaan yang menggunakan bahan-bahan tidak berkualiti bagi mendapatkan keuntungan yang lebih. Hasilnya, banyaklah bangunan yang rosak hanya setelah beberapa tahun didirikan.

Ini hanyalah sebahagian contoh penipuan yang sering berlaku dalam masyarakat kita. Namun, perkara ini sering terlepas pandang dan disangka remeh oleh kebanyakan orang. Mereka takut termakan sesuatu yang mengandungi daging babi, tetapi mereka seperti tidak merasa bersalah apabila curi tulang, menipu cuti sakit atau menipu dalam jual-beli.

Termakan…


Seperti yang disebutkan di atas,sensitiviti umat Islam dalam isu makanan halal ini amat tinggi sehingga sering kali melampaui apa yang sepatutnya. Mereka sering bertindak cuba memeriksa dengan mendalam. Mereka juga mengelak daripada membeli sesuatu produk makanan hanya kerana tersebarnya khabar angin yang mengatakan bahawa produk tersebut mengandungi bahan yang diharamkan. Bukan setakat itu, atas dasar sensitiviti umat Islam, mereka menyebarkan khabar berkenaan di merata tempat termasuk di blog, facebook, email, forum-forum internet dan sebagainya.

Beginilah sensitif dan telitinya mereka dalam perkara yang melibatkan makanan. Dengan kata lain, mereka bukan sekadar tidak mahu makan makanan haram, bahkan mereka juga takut termakan makanan haram.

Mari kita lihat bagaimana yang dicontohkan oleh Nabi SAW. berkaitan isu ini:

Daripada ‘Aisyah ra,
bahawa suatu kaum telah datang bertanya kepada Nabi SAW:

“Sesungguhnya suatu kaum telah memberikan kami daging.
Kami tidak mengetahui samaada telah
disebutkan nama Allah ke atasnya atau tidak!”

lalu baginda bersabda,

“Bacakanlah (nama Allah) ke atasnya (daging itu)
dan makanlah ia.”

[Sahih Bukhari, Kitab adz-Dzabaaih was-Soyd, 5507]

Hadis ini merujuk kepada suatu kaum yang baru memeluk Islam dan belum lagi mengetahui banyak tentang hukum-hakam agama. Itulah sebabnya para sahabat berasa ragu-ragu tentang daging tersebut, lalu bertanya akan hal tersebut kepada Rasulullah SAW. Jelas sekali baginda tidak menyuruh mereka pergi bertanya atau menyiasat perkara tersebut terlebih dahulu. Sebaliknya baginda bersabda, “Bacakanlah (nama Allah) ke atasnya (daging itu) dan makanlah ia.”

Berkenaan hadis ini, Sheikh Yusuf al-Qaradhawi menyebutkan:

“Dan tidaklah diwajibkan bagi seorang muslim untuk mempersoalkan sesuatu yang tidak kelihatan baginya: bagaimana cara penyembelihannya? Adakah ia melengkapi syaratnya (penyembelihan itu) atau tidak? Adakah disebutkan nama Allah ke atas sembelihan itu atau tidak? Bahkan kesemua yang tidak kita lihat daripada apa yang disembelih oleh seorang muslim – sekalipun (muslim yang menyembelih itu) seorang yang jahil atau fasiq – ataupun ahli kitab (yahudi dan kristian). Maka, memakannya (daging itu) adalah halal.


Dan sesungguhnya kami telah menyebutkan sebelum ini tentang hadis Bukhari : “..suatu kaum telah datang bertanya kepada Nabi SAW: “Sesungguhnya suatu kaum telah memberikan kami daging. Kami tidak mengetahui samaada telah disebutkan nama Allah ke atasnya atau tidak!” Lalu baginda bersabda, “Bacakanlah (nama Allah) ke atasnya (daging itu) dan makanlah ia.”


Maka berkata para ulama’ tentang hadis ini: “Ini adalah dalil bahawa sesuatu perbuatan dan urusan dinilai suci dan baik sehingga jelasnya bukti kerosakan dan keburukannya.”” [Syeikh Yusuf al-Qaradhawi dalam al-Halal wal Haram fil Islam, terbitan Maktabah Wahbah, Kaherah, cet. 24, tahun 2000, m/s: 60]

Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin pula berkata:

“Adapun apa yang dilakukan oleh orang lain selain anda, dari orang-orang yang perbuatannya dianggap sah, maka hendaklah diyakini sah, tidak boleh dipersoalkan. Sebab mempersoalkannya termasuk dalam sikap berlebihan (melampau). Kalau sekiranya kita mengharuskan diri kita untuk mempertanyakan tentang hal seperti itu, maka kita telah menyusahkan diri kita sendiri, kerana adanya kemungkinan setiap makanan yang diberikan kepada kita itu tidak mubah (tidak halal), padahal siapa saja yang mengajak anda untuk makan, maka boleh jadi makanan itu adalah hasil ghashab (mengambil tanpa diketahui pemiliknya) atau hasil curian, dan boleh jadi berasal dari wang yang haram, dan boleh jadi daging yang ada di makanan itu tidak disebutkan nama Allah (waktu disembelih). Maka termasuk dari rahmat Allah kepada hamba-hambaNya adalah bahawasanya suatu perbuatan, apabila datangnya dari ahlinya, maka jelas ia mengerjakannya secara sempurna hingga bersih dari dzimmah (beban) dan tidak perlu menimbulkan kesulitan bagi orang lain.” [Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin, Fatawa Nur ‘Alad Darbi]

Maka jelaslah di sini bahawa perkara ini adalah ringan dan mudah. Kita tidak dituntut untuk menyiasat dengan mendalam tentang sesuatu makanan. Cukuplah sekadar mengikut panduan pihak berkuasa serta berdasarkan apa yang dilihat pada zahir produk atau makanan tersebut, sesuai dengan kuasa dan kemampuan kita.

Ini dijelaskan lagi dengan dalil berikut:

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mughaffal ra.,
dia berkata,
“Saya menemui satu bekas makanan yang berisi
makanan berlemak pada perang Khaibar.
Lalu saya memegangnya erat-erat.
Saya berkata,
“Demi Allah, hari ini tidak ada seorang pun yang akan saya beri makanan ini.
Dan, ketika saya menoleh,
ternyata Rasulullah SAW berada di samping saya sambil tersenyum.”
[Riwayat Muslim, 3/1393]

Hadis di atas merujuk kepada situasi umat Islam berperang dengan ahli kitab Yahudi, yang mana umat Islam dibenarkan memakan sembelihan mereka. Walaupun tidak jelas tentang asal makanan itu, Rasulullah SAW. tidak melarang Abdullah bin Mughaffal ra. daripada memakan makanan itu. Baginda tidak menyuruh agar ia diperiksa terlebih dahulu, sebaliknya baginda hanya tersenyum dan itu menandakan halalnya perbuatan itu.

Dalam situasi hari ini, sepatutnya urusan ini adalah jauh lebih mudah. Kita mempunyai pihak berkuasa seperti JAKIM yang bertanggungjawab menyiasat dan menentukan status kehalalan sesuatu produk. Mereka juga sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.


Oleh demikian, seharusnya urusan ini tidak perlu dirisaukan lagi. Jika makanan itu mempunyai logo halal, maka ia boleh dimakan. Sekiranya tidak, maka makanlah apa-apa yang dihasilkan oleh umat Islam atau makanan yang pada zahirnya adalah halal seperti kopi, teh, susu, sayur-sayuran, buah-buahan, makanan laut dan sebagainya, tanpa perlu sibuk mencungkil apa yang tersembunyi.

Syubhah


Ramai orang beranggapan kita perlu memeriksa dengan teliti makanan yang hendak dimakan bagi mengelakkan syubhah.

Ini berdasarkan hadis yang terkenal berikut:

“Sesungguhnya yang halal itu telah NYATA,
dan haram juga telah NYATA,
dan di antara keduanya perkara-perkara yang masih diragukan,
yang kebanyakan orang ramai tiada mengetahui.
Orang-orang yang memelihara diri dari perkara-perkara yang syubhah itu
samalah seperti orang yang telah melindungi agamanya dan kehormatannya.
Orang yang tergelincir ke dalam perkara-perkara yang syubhah itu
akan tergelincir pula ke dalam perkara yang haram,
laksana seorang pengembala yang sedang menggembala di sekitar tempat larangan ,
akhirnya ia lalai memasuki tempat larangan itu.”
[Riwayat Bukhari dan Muslim]

Saya hormati pandangan mereka yang menggunakan hujah ini. Mereka bebas beramal dengan pegangan ini.

Apa yang pasti, terdapat pandangan lain di kalangan para ulama’.

"Musytabihat" atau "syubhah" atau "perkara-perkara yang meragukan" dalam hadis di atas bermaksud segala sesuatu yang belum diketahui dengan jelas dari segi hukumnya. Perkara ini adalah relatif kepada kemampuan seseorang individu. Itulah sebabnya dalam hadis di atas disebutkan "ramai orang tidak mengetahuinya."

Namun dalam hal ini, kita telah pun mengetahui hukumnya dengan jelas. Nyata sekali, ia bukanlah sesuatu yang ketat. Ini sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. sendiri, berdasarkan nas-nas yang disebutkan sebelum ini. Maka seharusnya inilah contoh yang patut kita ikuti.


“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu
pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik,

iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah

dan (balasan baik) hari akhirat,
serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak
(dalam masa susah dan senang)”
[Al-ahzab 33:21]

Katakanlah (wahai Muhammad):
"Jika benar kamu mengasihi Allah maka
ikutilah daku,
nescaya Allah mengasihi kamu
serta mengampunkan dosa-dosa kamu.
Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
[Ali Imran 3:31]

Tiada contoh yang lebih baik daripada contoh yang diberikan oleh Rasulullah SAW sendiri. Baginda telah menunjukkan dengan jelas tentang perkara ini. Ia adalah ringan dan mudah, sesuai dengan fitrah Islam itu yang sememangnya mudah. Maka inilah jalan yang seharusnya kita ikuti.

Kita juga seharusnya menjauhi sikap ‘ghuluw’ (melampau) dalam agama.

“Wahai Ahli kitab!
Janganlah kamu melampau
dalam perkara ugama kamu..”
[An-nisa’ 4:171]

“dan janganlah kamu melampau;
sesungguhnya Allah tidak suka
kepada orang-orang yang melampau.”
[al-An’aam 6:141]

Kesimpulan

Dalam isu ‘makan’ ini, Rasulullah SAW. telah menunjukkan kemudahan dan keringanan. Kita tidak dituntut untuk memeriksa dengan mendalam tentang sesuatu makanan. Cukuplah sekadar apa yang termampu. Kita juga tidak dipertanggungjawabkan sekiranya kita termakan’ makanan yang bercampur dengan bahan yang haram tanpa kita ketahui.

Apa jua pegangan kita dalam hal ini, kita sepakati bahawa isu ‘cari makan’ adalah isu yang lebih besar. Kita perlu lebih teliti, sensitif dan berhati-hati dalam hal ini. Perbuatan-perbuatan yang boleh menggelincirkan kita kepada dosa besar ini mesti dihentikan. Ini termasuklah curi tulang, menipu cuti sakit, menipu ‘claim’, menjual barangan yang telah rosak, menjual barangan tiruan, menipu spesifikasi produk, menerima atau memberi rasuah dan sebagainya.

Perbuatan-perbuatan ini bukan sahaja dicela oleh agama, malah boleh mendatangkan impak negatif terhadap imej Islam, pembangunan negara dan masyarakat serta efisyensi sesebuah perusahaan.

Wallahu a'lam.

Ahad, 3 Oktober 2010

rest in peace..


A new businees was opening and one of the owner's friends wanted to send flowers for the occasion. They arrived at the new business site and the owner read the card; it said "Rest in Peace."

The owner was angry and called the florist to complain.

After he had told the florist of the obvious mistake and how angry he was, the florist said. "Sir, I'm really sorry for the mistake, but rather than getting angry you should imagine this: somewhere there is a funeral taking place today, and they have flowers with a note saying, "Congratulations on your new location."


Sabtu, 18 September 2010

Kenapa bila masuk Islam, dah tak boleh keluar lagi??!!


Soalan:


Kenapa, bila seseorang itu masuk Islam, dia dah tak boleh keluar lagi?



Jawapan:


Apabila soalan ini ditanya, kita perlu juga lihat konteks soalan ini. cth: mengapa soalan ini ditanya, apa isu yg berkaitan dgn soalan ini.

Adakalanya soalan ini ditanya disebabkan isu hukuman hudud. kadang2 disebabkan isu lina joy. dan bbrp isu lain... Setiap isu ini mempunyai cara penjelasan yg agak berbeza.

Tetapi secara umum, kita boleh gunakan penjelasan berikut:


1. Tiada paksaan dalam agama.


Dalam Islam, kita tak boleh paksa sesiapa untuk memeluk Islam. Tanggungjawab kita adalah hanya menjelaskan kebenaran kepada golongan bukan Islam. Setelah kebenaran dijelaskan, keputusan adalah terletak kepada non-muslim tersebut samaada hendak memeluk Islam atau tidak. Kita tak boleh sama sekali memaksa org itu memeluk Islam.

Firman Allah: "Tiada paksaan dalam agama; sesungguhnya telah jelas (berbeza) kebenaran daripada kesesatan.." (al-baqarah 2:256)


2. Kontrak


Kalau kita ambil contoh, seseorang yg hendak menganggotai tentera perlu menandatangani kontrak. Dia tidak dipaksa untuk menjadi anggota tentera. Dia tidak dipaksa menandatangani kontrak tersebut. Tetapi setelah menandatangani kontrak tersebut, dia tak boleh lagi keluar daripada menjadi seorang tentera.

Seorang muslim juga begitu. Dia tidak dipaksa untuk memeluk Islam. Dia tidak dipaksa untuk melafazkan 2 kalimah syahadah. Tetapi setelah melafazkan syahadah dengan rela hati setelah menyaksikan kebenaran Islam, dia telah berkontrak utk tidak akan keluar dari Islam.

Setakat ini dahulu.

WaLLahu a'alam.

Rabu, 15 September 2010

jom bakar Quran


[klik untuk besarkan]


Khamis, 22 Julai 2010

Sabtu, 10 Julai 2010

menilik pemenang wowld cup


Akhir2 ini dunia dgemparkan dgn seekor sotong psikik yg bernama "Paul" yang mampu menilik pemenang perlawanan2 dalam world cup. Dikatakan semua 6 ramalan yg dbuat si sotong ini tepat. Dlm berita TV smlm, sekor burung pula menjadi tumpuan atas perkara yg sama, iaitu meramal pemenang perlawanan world cup. Mungkin selepas ini ada plak hamster, kura2, tikus dan sebagainya juga mengambil profesyen sbg tukang tilik.

Saya tidak mahu mengulas pjg ttg isu ini. Cuma saya ingin berkongsi bbrp hadis dan serba-sedikit huraian dlm isu2 seumpama ini.

Hadis 1:

Wahai Rasulullah! Sesungguhnya tukang tilik itu lazimnya
mengkhabarkan kami dengan sesuatu,
kemudian kami dapati ia adalah benar!
Rasulullah menjawab:
“Ia adalah kalimah (perkara) yang benar yang diambil
oleh seorang jin lalu dibisikkan kepada telinga
pengikutnya, kemudian dibuat tambahan padanya
dengan seratus kedustaan.”
[Sahih Muslim, 2228]

hadis 2:

"Sesiapa yang mengunjungi tukang tilik dan bertanya
kepadanya sesuatu maka
tidak akan diterima solatnya
selama empat puluh malam."
[Sahih Muslim, 2230]

Yang dimaksudkan dengan hadis ini adalah dia tidak mendapat pahala solatnya selama 40 malam. Namun, dia tidaklah terlepas daripada kewajipan solat itu. Dia tetap wajib menunaikan solatnya.

hadis 3:

“Wahai Rasulullah! Ada perkara yang kami
lakukan semasa zaman Jahiliyyah (seperti)
mengunjungi tukang-tukang tilik.”
Rasulullah menjawab:
"Jangan mengunjungi tukang-tukang tilik!”
[Sahih Muslim]

hadis 4:

"Sesiapa yang mengunjungi tukang-tukang tilik
lalu membenarkannya
atau menyetubuhi isterinya yangsedang haid
atau menyetubuhi isterinya dari duburnya,
maka dia telah lepas (keluar) daripada
apa yang diturunkan ke atas Muhammad (yakni Islam)."
[Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 3904
(Kitab al-Tibb, Bab berkenaan penilik nasib).]


Huraian ringkas:


Ramai yang tidak memandang isu menilik masa hadapan ini sebagai sesuatu yang serius. Sedangkan isu ini adalah isu akidah. Sudah tentulah ia lebih berat daripada isu hukum-hakam fiqh. Itulah sebabnya ia biasanya dibincangkan dalam kitab2 yg membahaskan ttg tauhid atau kitab2 yg menghuraikan ttg amalan2 syirik.

Itulah sebabnya hukum berkaitan perkara ini sgt ketat. Sehinggakan RasuluLLah SAW melarang kita drp mengunjungi tukang2 tilik, sekalipun kita tidak mempercayainya. Ini kerana, dalam Islam, kita bukan setakat dilarang untuk melakukan dosa2 besar. Malah, kita disuruh untuk menjauhinya.

"Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar
di antara dosa-dosa yang kamu dilarang mengerjakannya,
nescaya Kami hapuskan kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil)
dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga)."
[An-nisaa' 4:31]

Dosa yang paling besar dalam Islam adalah syirik. Dalam al-Quran disebutkan bahawa sekalipun seseorang itu tidak bertaubat, Allah boleh mengampunkan segala dosanya, kecuali syirik.

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan
dosa orang yang menyengutukanNya dengan sesuatu (melakukan syirik),
dan Dia mengampunkan dosa-dosa selain itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya.
Barangsiapa yang menyengutukan Allah dengan sesuatu,
maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar"
[an-Nisa' 4:48]

Seangkatan dengan mengunjungi tukang2 tilik, kita juga dilarang mengunjungi bomoh, dukun, membaca horoscopes, feng shui dan lain-lain seumpamanya, sekalipun kita tidak mempercayainya.

Ini dikhuatiri syaitan akan membisikkan bisikan-bisikannya setelah itu agar kita akhirnya mula mempercayainya. Ramalan yang tidak benar mungkin boleh dilihat benar. Namun, sekalipun ia benar, seperti yang dijelaskan oleh hadis 1 di atas, ia ditambah dengan seratus kedustaan.

Kita mungkin ghairah ingin mengetahui siapakah yang bakal menjuarai world cup. Tapi jangan sampai kita memberi kejuaraan kepada SYAITAN!

Jom hati2!!

"Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib,
maka Dia tidak memberitahu perkara
ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun;
melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya
(untuk mengetahui sebahagian dari perkara
ghaib yang berkaitan dengan tugasnya)."
[al-Jin 72:26-27]


Jumaat, 2 Julai 2010

penyelewengan sejawah islam 2: pendiwian muawiyah di sebalik pewang siffin


Pada tahun lepas saya telah berkongsi satu artikel berkaitan isu-isu kontroversi sejarah Islam, terutamanya berkaitan dengan seorang sahabat RasuluLLah SAW., Muawiyah bin Abi Sufyan. [Rujuk sini]. Dalam post itu, saya telah menerangkan secara kasar bagaimana penyelewengan sejarah Islam boleh menerap ke dalam masyarakat.

Di sini, saya kongsikan satu lagi artikel yang ditulis oleh penulis yang sama, iaitu Captain Hafiz Firdaus Abdullah yang juga disiarkan dalam Majalah i tahun 2005.

Harap dapat memberi manfaat kepada kita semua.





********************

Pendirian Muawiyah Di Sebalik Perang Siffin
Oleh


Dalam artikel Zainab bin Ali Saksi Peristiwa Karbala (Majalah i Jun 2005), disebut bahawa: “Zainab juga telah menyaksikan pertempuran demi pertempuran yang terpaksa ditempoh oleh ayahnya dalam menentang kaum pemberontak yang dipimpin oleh Muawiyah bin Abu Sufyan, seperti pertempuran di Siffin…”

Di atas adalah juga sejarah versi Syi‘ah yang amat masyhur. Perlu diteliti semula, benarkah Muawiyah bin Abi Sufyan radhiallahu 'anh memimpin kaum pemberontak ke atas Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh? Sebelum menjawab persoalan ini, ingin saya jelaskan terlebih dahulu keutamaan Muawiyah. Ini kerana sejak dari bangku sekolah, kebanyakan di kalangan kita mengenali beliau sebagai seorang sahabat yang zalim, pendusta dan pelbagai lagi sifat yang negatif. Pengenalan bentuk negatif ini begitu meluas sehingga jarang-jarang kita menemui ibubapa yang menamakan anaknya “Muawiyah” berbanding dengan nama para sahabat yang lain.


Keutamaan Muawiyah bin Abi Sufyan.


Muawiyah bin Abi Sufyan adalah salah seorang sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang mulia. Beliau dilahirkan 15 tahun sebelum peristiwa hijrah. Mengikut pendapat yang lebih tepat, beliau memeluk Islam selepas Perjanjian Hudaibiyah, iaitu antara tahun 6 hingga 8 hijrah. [Maulana M. Asri Yusoff – Sayyidina Mu’awiyah: Khalifah Rashid Yang Teraniaya (Pustaka Bisyaarah, Kubang Kerian, 2004), ms. 9-10]. Dalam sebuah hadis yang dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani rahimahullah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah mendoakan Muawiyah: “Ya Allah! Jadikanlah beliau orang yang memimpin kepada hidayah dan berikanlah kepada beliau hidayah. [Silsilah al-Ahadits al-Shahihah (Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh, 1995), hadis no: 1969]

Al-Imam al-Bukhari meriwayatkan di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 2924 bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Pasukan pertama daripada kalangan umatku yang berperang di laut, telah dipastikan bagi mereka (tempat di syurga).” Fakta sejarah mencatitkan bahawa armada laut yang pertama bagi umat Islam dipimpin oleh Muawiyah pada zaman pemerintahan Amirul Mukminin Usman ibn Affan radhiallahu 'anh.

Di dalam Shahih Muslim – hadis no: 2501, Abu Sufyan pernah meminta kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam agar Muawiyah menjadi jurutulis baginda. Rasulullah memperkenankan permintaan ini. Sejak itu Muawiyah menjadi jurutulis al-Qur’an dan surat-surat Rasulullah, sekali gus menjadi orang yang dipercayai di sisi baginda.

Muawiyah juga merupakan seorang sahabat yang dihormati oleh para sahabat yang lain. Beliau diangkat menjadi gabenor di Syam semasa zaman pemerintahan Amirul Mukminin Umar dan Usman. Pada zaman pemerintahan beliau sendiri, pernah seorang mengadu kepada Ibn Abbas radhiallahu 'anh bahawa Muawiyah melaksanakan solat witir dengan hanya satu rakaat. Ibn Abbas menjawab: “(Biarkan), sesungguhnya dia seorang yang faqih (faham agama).” [Shahih al-Bukhari – hadis no: 3765]

Demikianlah beberapa keutamaan Muawiyah yang sempat dinyatakan dalam tulisan ini. Dapat dikenali bahawa beliau bukanlah sebarangan orang tetapi merupakan salah seorang sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang mulia.


Pendirian Muawiyah tentang kekhalifahan Ali.


Apabila Amirul Mukminin Usman ibn Affan radhiallahu 'anh dibunuh, Ali bin Abi Thalib diangkat menjadi khalifah. Beliau dibai‘ah oleh sebahagian umat Islam. Wujud sebahagian lain yang tidak membai‘ah beliau, di antaranya ialah Muawiyah. Hal ini berlaku bukan kerana Muawiyah menafikan jawatan khalifah daripada Ali, akan tetapi Muawiyah mengkehendaki Ali terlebih dahulu menjatuhkan hukuman hudud ke atas para pembunuh Usman. Al-Imam Ibn Hazm rahimahullah menerangkan hakikat ini: “Dan tidaklah Muawiyah mengingkari sedikit jua akan keutamaan Ali dan hak beliau untuk menjadi khalifah. Akan tetapi pada ijtihad beliau, perlu didahulukan penangkapan ke atas para pembakar api fitnah daripada kalangan para pembunuh Usman radhiallahu 'anh daripada urusan bai‘ah. Dan beliau juga berpendapat dirinya paling berhak untuk menuntut darah Usman.” [al-Fishal, jld. 3, ms. 85]

Di sisi Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib, beliau bukan sengaja membiarkan para pembunuh Usman berkeliaran secara bebas. Malah beliau mengetahui bahawa mereka itu menyamar diri dan berselindung di kalangan umat Islam serta berpura-pura membai‘ah beliau. Akan tetapi dalam suasana umat Islam yang masih berpecah belah, adalah sukar untuk beliau mengambil apa-apa tindakan. Sebaliknya jika umat Islam bersatu, mudah baginya untuk mengambil tindakan ke atas para pembunuh Usman.


Berlakunya Perang Siffin.


Setelah Perang Jamal berakhir, Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib menghantar utusan kepada Muawiyah meminta beliau berbai‘ah kepada dirinya. Muawiyah menolak, sebaliknya mengulangi tuntutannya agar Amirul Mukminin Ali mengambil tindakan ke atas para pembunuh Usman. Jika tidak, Muawiyah sendiri yang akan mengambil tindakan. Mendengar jawapan yang sedemikian, Amirul Mukminin Ali menyiapkan pasukannya dan mula bergerak ke arah Syam. Senario ini menyebabkan Muawiyah juga mempersiapkan pasukannya dan mula bergerak ke arah Kufah. Akhirnya kedua-dua pasukan ini bertemu di satu tempat yang bernama Siffin dan bermulalah peperangan yang dikenali dengan Perang Siffin.

Para pengkaji berbeza pendapat, kenapakah Amirul Mukminin Ali mempersiapkan pasukannya ke arah Syam? Persoalan ini masih memerlukan penelitian yang mendalam dengan mengambil kira faktor-faktor luaran dan dalaman yang wujud pada ketika itu. Amirul Mukminin Ali tidak akan mengambil apa-apa tindakan melainkan ia adalah untuk kemaslahatan umat Islam seluruhnya. Hal ini mengingatkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang meramalkan berlakunya Perang Siffin: “Tidak akan datang Hari Kiamat sehingga dua kumpulan yang besar saling berperang. Berlaku antara kedua-duanya pembunuhan yang dahsyat padahal seruan kedua-dua kumpulan tersebut adalah satu (yakni kebaikan Islam dan umatnya).” [Shahih Muslim – hadis no: 157]


Muawiyah memberontak kepada Ali?


Kini penelitian kita sampai kepada persoalan: Benarkah Muawiyah memimpin pemberontakan ke atas Amirul Mukminin Ali? Jawapannya tidak. Ini kerana jika dikatakan seseorang itu memberontak kepada pemimpinnya, nescaya pemberontak itulah yang bergerak ke arah pemimpin. Akan tetapi dalam kes Muawiyah, beliau tidak bergerak ke arah Amirul Mukminin Ali. Sekalipun Muawiyah enggan membai‘ah Ali, beliau hanya berdiam diri di Syam tanpa memulakan apa-apa tindakan ketenteraan. Syaikh Muhib al-Din al-Khatib rahimahullah (1389H) menjelaskan:

“……lalu Ali berangkat meninggalkan Kufah dan menuju di permulaan jalan yang menuju ke arah Syam dari Iraq. Ali mengisyaratkan supaya orang ramai tetap tinggal di Kufah dan mengirimkan yang selainnya ke Syam. Sampai berita kepada Muawiyah bahawa Ali telah mempersiapkan pasukannya dan Ali sendiri keluar untuk memerangi beliau. Maka para pembesar Syam mengisyaratkan kepada Muawiyah agar dia sendiri turut keluar (untuk berhadapan dengan pasukan Ali). Maka orang-orang Syam berangkat menuju ke Sungai Furat melalui Siffin dan Ali maju bersama pasukannya menuju Siffin juga.

……Seandainya Ali tidak mempersiapkan pasukan yang bergerak dari Kufah nescaya Muawiyah tidak akan bergerak (dari Syam).” [catitan notakaki kepada al-‘Awashim min al-Qawashim, ms. 166 & 168 ]

Dalam persoalan ini terdapat sebuah hadis yang lazim dijadikan alasan melabel Muawiyah sebagai pemberontak. Hadis tersebut diriwayatkan oleh al-Imam Muslim di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 2916 di mana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda kepada ‘Ammar bin Yasir radhiallahu 'anh: “Engkau akan dibunuh oleh kelompok pemberontak.” Di dalam Perang Siffin, ‘Ammar berada di dalam pasukan Amirul Mukminin Ali dan beliau terbunuh dalam peperangan tersebut. Lalu Muawiyah dilabel sebagai pemberontak kerana pasukan beliaulah yang memerangi Ali sehingga menyebabkan ‘Ammar terbunuh.

Sebenarnya tidak tepat menggunakan hadis di atas untuk melabel Muawiyah sebagai pemberontak. Sebabnya:

1. Sejak awal para sahabat mengetahui bahawa ‘Ammar bin Yasir berada di dalam pasukan Amirul Mukminin Ali. Dengan itu, sesiapa yang memerangi pasukan Ali, nescaya mereka adalah para pemberontak. Akan tetapi fakta sejarah mencatitkan bahawa ramai sahabat yang mengecualikan diri daripada Perang Siffin. Jika mereka memandang pasukan Muawiyah sebagai pemberontak, nescaya mereka tidak akan mengecualikan diri, malah tanpa lengah akan menyertai pasukan Ali. Sikap mereka yang mengecualikan diri menunjukkan mereka tidak memandang pasukan Muawiyah sebagai pihak yang memberontak. Perlu ditambah bahawa hadis yang meramalkan pembunuhan ‘Ammar bin Yasir oleh kelompok pembangkang adalah hadis mutawatir yang diriwayatkan oleh lebih daripada 20 orang sahabat. [Rujuk Qathf al-Azhar al-Mutanatsirah fi al-Akhbar al-Mutawatirah oleh al-Imam al-Suyuthi (911H) (al-Maktab al-Islami, Beirut, 1985), hadis no: 104]

2. Amirul Mukminin Ali juga mengetahui bahawa ‘Ammar bin Yasir berada dalam pasukannya. Akan tetapi Ali mengakhiri Perang Siffin melalui perdamaian yang disebut sebagai peristiwa Tahkim. Seandainya Ali memandang Muawiyah sebagai pemberontak, nescaya beliau tidak akan melakukan apa-apa usaha perdamaian dengannya.

3. Apabila terbunuhnya Amirul Mukminin Ali, jawatan khalifah diserahkan kepada anaknya, Hasan bin Ali radhiallahu 'anh. Tidak berapa lama selepas itu, Hasan menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah. Padahal Hasan juga mengetahui bahawa ‘Ammar bin Yasir telah terbunuh dalam Perang Siffin. Jika Hasan memandang Muawiyah sebagai pemberontak, nescaya beliau tidak akan menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah. Namun Hasan tetap menyerahkannya, menunjukkan beliau tidak memandang Muawiyah sebagai pemberontak.

Semua ini membawa kepada persoalan seterusnya, siapakah yang sebenarnya dimaksudkan sebagai “kelompok pemberontak”? Kelompok pemberontak tersebut bukanlah pasukan Muawiyah mahupun pasukan Amirul Mukminin Ali, akan tetapi adalah orang-orang yang pada asalnya menyebabkan berlakunya peperangan antara Muawiyah dan Ali. Mereka adalah kelompok pemberontak yang asalnya memberontak kepada Amirul Mukminin Usman ibn Affan sehingga akhirnya membunuh beliau. Diingatkan bahawa sekalipun pada zahirnya peperangan kelihatan berlaku di antara para sahabat, faktor yang menggerakkannya ialah para pemberontak yang asalnya terlibat dalam pembunuhan Usman.

Syaikh Mubih al-Din al-Khatib rahimahullah menjelaskan hakikat ini: “Sesungguhnya orang yang membunuh orang Islam dengan tangan kaum Muslimin setelah terjadinya pembunuhan Usman, maka dosanya berada di atas para pembunuh Usman kerana mereka adalah pembuka pintu fitnah dan mereka yang menyalakan apinya dan mereka yang menipu sebahagian hati kaum muslimin dengan sebahagian yang lain. Maka sebagaimana mereka membunuh Usman maka mereka juga membunuh setiap orang yang mati selepas Usman, di antaranya seperti ‘Ammar dan orang yang lebih utama daripada ‘Ammar iaitu Thalhah dan al-Zubair, sehinggalah berakhirnya fitnah dengan terbunuhnya Ali.

……Segala sesuatu yang terjadi kerana fitnah maka yang menanggungnya adalah orang yang menyalakan apinya kerana merekalah penyebab yang pertama. Mereka itulah “kelompok pembangkang” yang membunuh, yang menyebabkan setiap pembunuhan dalam Perang Jamal dan Perang Siffin dan perpecahan yang berlaku selepas kedua-dua perang tersebut.” [catitan notakaki kepada al-‘Awashim min al-Qawashim, ms. 173]


Kebenaran tetap bersama pemimpin.


Sekalipun dikatakan bahawa Muawiyah bukan pemberontak, tidaklah bererti Muawiyah berada di pihak yang benar. Di dalam Islam, apabila wujud perbezaan pendapat antara pemimpin dan selain pemimpin, maka kebenaran terletak bersama pemimpin. Hendaklah mereka yang menyelisihi pemimpin tetap bersama pemimpin dan berbincang dengan beliau terhadap apa yang diperselisihkan. Di dalam peristiwa yang membawa kepada Perang Siffin, pemimpin saat itu ialah Amirul Mukminin Ali. Maka sikap yang lebih tepat bagi Muawiyah ialah tidak meletakkan syarat untuk membai‘ah Ali, sebaliknya terus membai‘ah beliau dan kemudian berbincang dengan beliau tentang cara terbaik untuk mengambil tindakan ke atas para pembunuh Amirul Mukminin Usman.

Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah menegaskan: “Dan Muawiyah bukanlah daripada kalangan mereka yang memilih untuk memulakan perang, bahkan beliau daripada kalangan yang paling mengkehendaki agar tidak berlaku perang …… yang benar adalah tidak berlakunya peperangan. Meninggalkan peperangan adalah lebih baik bagi kedua-dua pihak. Tidaklah dalam peperangan tersebut (Perang Siffin, wujud satu) pihak yang benar. Akan tetapi Ali lebih mendekati kebenaran berbanding Muawiyah. Peperangan adalah peperangan kerana fitnah, tidak ada yang wajib dan tidak ada yang sunat dan meninggalkan perang adalah lebih baik bagi kedua-dua pihak. Hanya sahaja Ali adalah lebih benar. Dan ini merupakan pendapat (al-Imam) Ahmad dan kebanyakan ahli hadis dan kebanyakan para imam fiqh dan ini juga merupakan pendapat para tokoh sahabat dan tabi’in yang selalu mendapat kebaikan.” [Minhaj al-Sunnah, jld. 4, ms. 447-448]

******

**nota: saya telah melakukan sedikit perubahan pada format dan color (jika dibandingkan dengan artikel asal) - firdaus.

Sabtu, 26 Jun 2010

Isnin, 7 Jun 2010

Jumaat, 28 Mei 2010

NASA ingenuity


When NASA first started sending up astronauts, they quickly discovered that ballpoint pens would not work in zero gravity.

To combat the problem, NASA scientists spent a decade and $12 billion to develop a pen that writes in zero gravity, upside down, underwater, on almost any surface including glass and at temperatures ranging from below freezing to 300 degrees celcius.

The Russians used a pencil!