CAT-tegories:

Ahad, 14 November 2010

Makan, termakan dan cari makan


Entri saya yang paling mendapat hits dalam blog ini adalah entri yang bertajuk “ATTENTION!!!! senarai non-halal foods...Tlg fwd laju2 to our muslim friends!!". Dalam entri tersebut, saya ‘membedah’ sebuah email yang disebarkan secara meluas berkenaan produk-produk yang dikatakan mengandungi bahan-bahan haram. Sila rujuk di sini untuk membaca respons saya terhadap email tersebut.

Hits yang tinggi ini jelas menunjukkan bahawa kesedaran masyarakat kita dalam memastikan makanan yang diambil oleh mereka tidak mengandungi bahan yang haram adalah amat tinggi sekali. Rata-rata mereka sangat teliti dan sensitif dalam urusan makanan. Mereka bukan sahaja tidak mahu makan makanan haram, malah mereka juga takut termakan makanan haram.

Makan vs cari makan


Saya teringat ketika sedang menikmati hidangan makanan tengahari bersama Sheikh Dr. Abdul Karim Turey, seorang pakar tafsir al-Quran dari Ivory Coast beberapa tahun lepas, beliau berkata, “Saya hairan melihat ramai orang sibuk meneliti atau mencari-cari samaada makanan yang mereka makan mengandungi bahan yang haram atau tidak… tetapi mereka seperti tidak kisah dari mana sumber makanan (harta) mereka… seperti adakah daripada rasuah, riba’ dan sebagainya.”




Apa yang dimaksudkan oleh Syeikh Dr. Abdul Karim itu bukanlah bermakna kita tidak perlu menjauhi makanan yang haram. Hukumnya adalah jelas dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Namun yang dimaksudkan adalah umat Islam sering terlepas pandang perkara yang jauh lebih besar dan lebih utama, iaitu sumber makanan (harta) itu sendiri! Sedangkan, jika diteliti, dalil-dalil tentangnya adalah lebih berat dan disertai dengan celaan bagi mereka yang melanggarnya.

Sebagai contoh, dalam isu makanan, ramai orang sangat sensitif sehingga sering kali melampau daripada yang sepatutnya. Tetapi dalam masa sama, mereka seperti tidak kisah bersekongkol dengan riba’, samaada melalui pelaburan, pinjaman, penggunaan kad kredit dan sebagainya. Sedangkan riba’ termasuk dalam kategori DOSA BESAR!

Dalam al-Quran disebutkan bahawa Allah dan RasulNya telah mengisytiharkan perang terhadap mereka yang tidak meninggalkan riba’.

Firman Allah:

“Maka sekiranya kamu tidak berbuat demikian (meninggalkan riba’)
maka ketahuilah akan adanya peperangan daripada Allah dan RasulNya.
Dan jika kamu bertaubat , maka bagi kamu (yang sebenarnya) adalah pokok harta kamu
yang asal. (Dengan itu) kamu tidak menzalimi dan tidak pula dizalimi.”
[al-Baqarah 2:279]


Satu lagi contoh adalah menipu dalam mencari harta.


Rasulullah SAW pernah berjalan melintasi (sebuah kedai) makanan.
Maka baginda memasukkan tangannya ke dalam makanan tersebut,
ternyata jari-jarinya terasa sesuatu yang basah (makanan itu sudah rosak).
Maka baginda bertanya,
“Apakah ini wahai pemilik makanan?”
Dia menjawab,
“Ia telah basah kerana terkena air hujan ya Rasulullah!”
Rasulullah membalas,
“Mengapa kamu tidak meletaknya di bahagian atas makanan
supaya boleh dilihat oleh orang ramai
(dan mengetahui bahawa ia telah rosak)?

Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari golonganku.”
[Sahih Muslim, 102]

Bersandarkan hadis ini, sebahagian ulama’ menghukumkan bahawa mereka yang menghalalkan penipuan dalam mencari harta adalah kafir! Begitulah beratnya persoalan ‘cari makan’ ini menurut Islam.

Di dalam al-Quran, Allah mencela mereka yang menipu dalam timbangan:

“Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang,
(yaitu) orang-orang yang apabila menerima takaran
dari orang lain mereka minta dipenuhi,dan apabila mereka menakar atau menimbang
untuk orang lain, mereka mengurangi.”
[al-Muthaffifin 83:1-3]

Mungkin ramai yang menyangka bahawa menipu ini hanya berlaku bagi mereka yang terlibat dalam perniagaan semata-mata. Ini tidak benar. Penipuan ini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk.

Sebagai contoh, orang yang dibayar oleh majikan mereka untuk bekerja selama 8 jam sehari tetapi mereka ‘curi tulang’ dalam kerja mereka. Bukankah ini sama seperti ayat daripada surah al-Muthaffifin di atas? Apabila tiba masa mereka menerima gaji, mereka menuntut gaji mereka dibayar penuh, tetapi apabila bekerja, mereka bekerja kurang daripada yang sepatutnya.

Bagaimana pula halnya dengan orang yang menipu cuti sakit?

Bagaimana pula dengan mereka yang menipu ‘claim’?

Bagaimana pula dengan mereka yang menggunakan telefon pejabat untuk kegunaan peribadi?

Semua ini berlaku dengan cukup meluas dalam masyarakat kita. Namun mereka tidaklah begitu
sensitif terhadap isu ini jika dibandingkan dengan sensitifnya mereka terhadap isu berkaitan makanan.


Dalam perniagaan pula, sebahagian orang menjual barangan yang mempunyai kecacatan, namun kecacatan itu disembunyikan dan dijual pada harga biasa. Begitu juga dengan orang yang menjual barangan tiruan.

Terdapat juga kontraktor binaan yang menggunakan bahan-bahan tidak berkualiti bagi mendapatkan keuntungan yang lebih. Hasilnya, banyaklah bangunan yang rosak hanya setelah beberapa tahun didirikan.

Ini hanyalah sebahagian contoh penipuan yang sering berlaku dalam masyarakat kita. Namun, perkara ini sering terlepas pandang dan disangka remeh oleh kebanyakan orang. Mereka takut termakan sesuatu yang mengandungi daging babi, tetapi mereka seperti tidak merasa bersalah apabila curi tulang, menipu cuti sakit atau menipu dalam jual-beli.

Termakan…


Seperti yang disebutkan di atas,sensitiviti umat Islam dalam isu makanan halal ini amat tinggi sehingga sering kali melampaui apa yang sepatutnya. Mereka sering bertindak cuba memeriksa dengan mendalam. Mereka juga mengelak daripada membeli sesuatu produk makanan hanya kerana tersebarnya khabar angin yang mengatakan bahawa produk tersebut mengandungi bahan yang diharamkan. Bukan setakat itu, atas dasar sensitiviti umat Islam, mereka menyebarkan khabar berkenaan di merata tempat termasuk di blog, facebook, email, forum-forum internet dan sebagainya.

Beginilah sensitif dan telitinya mereka dalam perkara yang melibatkan makanan. Dengan kata lain, mereka bukan sekadar tidak mahu makan makanan haram, bahkan mereka juga takut termakan makanan haram.

Mari kita lihat bagaimana yang dicontohkan oleh Nabi SAW. berkaitan isu ini:

Daripada ‘Aisyah ra,
bahawa suatu kaum telah datang bertanya kepada Nabi SAW:

“Sesungguhnya suatu kaum telah memberikan kami daging.
Kami tidak mengetahui samaada telah
disebutkan nama Allah ke atasnya atau tidak!”

lalu baginda bersabda,

“Bacakanlah (nama Allah) ke atasnya (daging itu)
dan makanlah ia.”

[Sahih Bukhari, Kitab adz-Dzabaaih was-Soyd, 5507]

Hadis ini merujuk kepada suatu kaum yang baru memeluk Islam dan belum lagi mengetahui banyak tentang hukum-hakam agama. Itulah sebabnya para sahabat berasa ragu-ragu tentang daging tersebut, lalu bertanya akan hal tersebut kepada Rasulullah SAW. Jelas sekali baginda tidak menyuruh mereka pergi bertanya atau menyiasat perkara tersebut terlebih dahulu. Sebaliknya baginda bersabda, “Bacakanlah (nama Allah) ke atasnya (daging itu) dan makanlah ia.”

Berkenaan hadis ini, Sheikh Yusuf al-Qaradhawi menyebutkan:

“Dan tidaklah diwajibkan bagi seorang muslim untuk mempersoalkan sesuatu yang tidak kelihatan baginya: bagaimana cara penyembelihannya? Adakah ia melengkapi syaratnya (penyembelihan itu) atau tidak? Adakah disebutkan nama Allah ke atas sembelihan itu atau tidak? Bahkan kesemua yang tidak kita lihat daripada apa yang disembelih oleh seorang muslim – sekalipun (muslim yang menyembelih itu) seorang yang jahil atau fasiq – ataupun ahli kitab (yahudi dan kristian). Maka, memakannya (daging itu) adalah halal.


Dan sesungguhnya kami telah menyebutkan sebelum ini tentang hadis Bukhari : “..suatu kaum telah datang bertanya kepada Nabi SAW: “Sesungguhnya suatu kaum telah memberikan kami daging. Kami tidak mengetahui samaada telah disebutkan nama Allah ke atasnya atau tidak!” Lalu baginda bersabda, “Bacakanlah (nama Allah) ke atasnya (daging itu) dan makanlah ia.”


Maka berkata para ulama’ tentang hadis ini: “Ini adalah dalil bahawa sesuatu perbuatan dan urusan dinilai suci dan baik sehingga jelasnya bukti kerosakan dan keburukannya.”” [Syeikh Yusuf al-Qaradhawi dalam al-Halal wal Haram fil Islam, terbitan Maktabah Wahbah, Kaherah, cet. 24, tahun 2000, m/s: 60]

Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin pula berkata:

“Adapun apa yang dilakukan oleh orang lain selain anda, dari orang-orang yang perbuatannya dianggap sah, maka hendaklah diyakini sah, tidak boleh dipersoalkan. Sebab mempersoalkannya termasuk dalam sikap berlebihan (melampau). Kalau sekiranya kita mengharuskan diri kita untuk mempertanyakan tentang hal seperti itu, maka kita telah menyusahkan diri kita sendiri, kerana adanya kemungkinan setiap makanan yang diberikan kepada kita itu tidak mubah (tidak halal), padahal siapa saja yang mengajak anda untuk makan, maka boleh jadi makanan itu adalah hasil ghashab (mengambil tanpa diketahui pemiliknya) atau hasil curian, dan boleh jadi berasal dari wang yang haram, dan boleh jadi daging yang ada di makanan itu tidak disebutkan nama Allah (waktu disembelih). Maka termasuk dari rahmat Allah kepada hamba-hambaNya adalah bahawasanya suatu perbuatan, apabila datangnya dari ahlinya, maka jelas ia mengerjakannya secara sempurna hingga bersih dari dzimmah (beban) dan tidak perlu menimbulkan kesulitan bagi orang lain.” [Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin, Fatawa Nur ‘Alad Darbi]

Maka jelaslah di sini bahawa perkara ini adalah ringan dan mudah. Kita tidak dituntut untuk menyiasat dengan mendalam tentang sesuatu makanan. Cukuplah sekadar mengikut panduan pihak berkuasa serta berdasarkan apa yang dilihat pada zahir produk atau makanan tersebut, sesuai dengan kuasa dan kemampuan kita.

Ini dijelaskan lagi dengan dalil berikut:

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mughaffal ra.,
dia berkata,
“Saya menemui satu bekas makanan yang berisi
makanan berlemak pada perang Khaibar.
Lalu saya memegangnya erat-erat.
Saya berkata,
“Demi Allah, hari ini tidak ada seorang pun yang akan saya beri makanan ini.
Dan, ketika saya menoleh,
ternyata Rasulullah SAW berada di samping saya sambil tersenyum.”
[Riwayat Muslim, 3/1393]

Hadis di atas merujuk kepada situasi umat Islam berperang dengan ahli kitab Yahudi, yang mana umat Islam dibenarkan memakan sembelihan mereka. Walaupun tidak jelas tentang asal makanan itu, Rasulullah SAW. tidak melarang Abdullah bin Mughaffal ra. daripada memakan makanan itu. Baginda tidak menyuruh agar ia diperiksa terlebih dahulu, sebaliknya baginda hanya tersenyum dan itu menandakan halalnya perbuatan itu.

Dalam situasi hari ini, sepatutnya urusan ini adalah jauh lebih mudah. Kita mempunyai pihak berkuasa seperti JAKIM yang bertanggungjawab menyiasat dan menentukan status kehalalan sesuatu produk. Mereka juga sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.


Oleh demikian, seharusnya urusan ini tidak perlu dirisaukan lagi. Jika makanan itu mempunyai logo halal, maka ia boleh dimakan. Sekiranya tidak, maka makanlah apa-apa yang dihasilkan oleh umat Islam atau makanan yang pada zahirnya adalah halal seperti kopi, teh, susu, sayur-sayuran, buah-buahan, makanan laut dan sebagainya, tanpa perlu sibuk mencungkil apa yang tersembunyi.

Syubhah


Ramai orang beranggapan kita perlu memeriksa dengan teliti makanan yang hendak dimakan bagi mengelakkan syubhah.

Ini berdasarkan hadis yang terkenal berikut:

“Sesungguhnya yang halal itu telah NYATA,
dan haram juga telah NYATA,
dan di antara keduanya perkara-perkara yang masih diragukan,
yang kebanyakan orang ramai tiada mengetahui.
Orang-orang yang memelihara diri dari perkara-perkara yang syubhah itu
samalah seperti orang yang telah melindungi agamanya dan kehormatannya.
Orang yang tergelincir ke dalam perkara-perkara yang syubhah itu
akan tergelincir pula ke dalam perkara yang haram,
laksana seorang pengembala yang sedang menggembala di sekitar tempat larangan ,
akhirnya ia lalai memasuki tempat larangan itu.”
[Riwayat Bukhari dan Muslim]

Saya hormati pandangan mereka yang menggunakan hujah ini. Mereka bebas beramal dengan pegangan ini.

Apa yang pasti, terdapat pandangan lain di kalangan para ulama’.

"Musytabihat" atau "syubhah" atau "perkara-perkara yang meragukan" dalam hadis di atas bermaksud segala sesuatu yang belum diketahui dengan jelas dari segi hukumnya. Perkara ini adalah relatif kepada kemampuan seseorang individu. Itulah sebabnya dalam hadis di atas disebutkan "ramai orang tidak mengetahuinya."

Namun dalam hal ini, kita telah pun mengetahui hukumnya dengan jelas. Nyata sekali, ia bukanlah sesuatu yang ketat. Ini sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. sendiri, berdasarkan nas-nas yang disebutkan sebelum ini. Maka seharusnya inilah contoh yang patut kita ikuti.


“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu
pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik,

iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah

dan (balasan baik) hari akhirat,
serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak
(dalam masa susah dan senang)”
[Al-ahzab 33:21]

Katakanlah (wahai Muhammad):
"Jika benar kamu mengasihi Allah maka
ikutilah daku,
nescaya Allah mengasihi kamu
serta mengampunkan dosa-dosa kamu.
Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
[Ali Imran 3:31]

Tiada contoh yang lebih baik daripada contoh yang diberikan oleh Rasulullah SAW sendiri. Baginda telah menunjukkan dengan jelas tentang perkara ini. Ia adalah ringan dan mudah, sesuai dengan fitrah Islam itu yang sememangnya mudah. Maka inilah jalan yang seharusnya kita ikuti.

Kita juga seharusnya menjauhi sikap ‘ghuluw’ (melampau) dalam agama.

“Wahai Ahli kitab!
Janganlah kamu melampau
dalam perkara ugama kamu..”
[An-nisa’ 4:171]

“dan janganlah kamu melampau;
sesungguhnya Allah tidak suka
kepada orang-orang yang melampau.”
[al-An’aam 6:141]

Kesimpulan

Dalam isu ‘makan’ ini, Rasulullah SAW. telah menunjukkan kemudahan dan keringanan. Kita tidak dituntut untuk memeriksa dengan mendalam tentang sesuatu makanan. Cukuplah sekadar apa yang termampu. Kita juga tidak dipertanggungjawabkan sekiranya kita termakan’ makanan yang bercampur dengan bahan yang haram tanpa kita ketahui.

Apa jua pegangan kita dalam hal ini, kita sepakati bahawa isu ‘cari makan’ adalah isu yang lebih besar. Kita perlu lebih teliti, sensitif dan berhati-hati dalam hal ini. Perbuatan-perbuatan yang boleh menggelincirkan kita kepada dosa besar ini mesti dihentikan. Ini termasuklah curi tulang, menipu cuti sakit, menipu ‘claim’, menjual barangan yang telah rosak, menjual barangan tiruan, menipu spesifikasi produk, menerima atau memberi rasuah dan sebagainya.

Perbuatan-perbuatan ini bukan sahaja dicela oleh agama, malah boleh mendatangkan impak negatif terhadap imej Islam, pembangunan negara dan masyarakat serta efisyensi sesebuah perusahaan.

Wallahu a'lam.

6 ulasan:

  1. salam..sekadar bertanya..pada statement:
    "Kita tidak dituntut untuk memeriksa dengan mendalam tentang sesuatu makanan."
    jadi, bermaksud, tak perlu lah ada JAKIM dan PPIM ye? sebab diorang yang selalu cek..maksudnya diorang PELAMPAU dalam AGAMA la ye?

    erm, sekadar pendapat saya la kan, yang tak banyak ilmu agama ni..tak seharusnya kita menghalang orang dengan menjaga pemakanan mereka..kita tak boleh meletakkan pengecualian dalam bab makanan ni, seperti mana bab2 yang encik istilahkan terlepas pangang seperti curi tulang dlm bab gaji dan sebagainya tu..

    tapi, seharusnya encik menggalakkan orang islam menguasai bab ekonomi atau makanan..sebabnya, punca perkara-perkara ini kerana kurang orang islam yang menjaga perkara dalam memilih bahan2 dalam makanan..saya rasa, encik perlu banyakkan membaca perkara-perkara yang diselewengkan oleh premis2 atau syarikat2..ataupun, banyakkan membaca tentang jenis2 bahan kandungan makanan yang digunakan sekarang..kalau encik banyakkan membaca seperti buku HALAL HARAM keluaran CAP(persatuan pengguna pulau pinang), saya percaya encik takkan karang ulasan sebegini, tapi mendapat kesedaran untuk sediakan pada umat2 islam makanan yang halal..

    saya teringat kisah imam abu hanifah, yang apabila beliau terdengar seekor kambing hilang, dia tak makan daging kambing semata-mata kerana takut kambing yang dimakannya tu adalah kambing yang hilang..kerana beliau tahu, walaupun kita makan dalam keadaan tak tahu, tapi kesannya tetap dapat..lihatlah macam mana ulama' menjaga darah dagingnya..wallahua'lam..semoga jadi renungan buat diri saya juga..terima kasih..

    BalasPadam
  2. Waalaikumussalam wbt.

    terima kasih atas soalan. Berikut adalah penjelasan saya:

    "Kita tidak dituntut untuk memeriksa dengan mendalam tentang sesuatu makanan."

    Dalam perkara ini, statement saya jelas. Saya sebutkan yang kita makan makanan yang ada logo halal, atau yang dibuat oleh umat Islam, atau makanan yang pada zahirnya halal.

    "jadi, bermaksud, tak perlu lah ada JAKIM dan PPIM ye? sebab diorang yang selalu cek..maksudnya diorang PELAMPAU dalam AGAMA la ye?"

    Saya tak sebut pun yang kita tak perlu agensi2 ini. Malah, saya menyebutkan, “Dalam situasi hari ini, sepatutnya urusan ini adalah jauh lebih mudah. Kita mempunyai pihak berkuasa seperti JAKIM yang BERTANGGUNGJAWAB menyiasat dan menentukan status kehalalan sesuatu produk. Mereka juga sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.”

    Di sini perlu dibezakan antara tanggungjawab pihak pemerintah/berkuasa dengan tanggungjawab individu. Saya hanya menjelaskan isu ini dari sudut hukum di peringkat individu. Kedua2nya mempunyai tanggungjawab berbeza serta kaedah berbeza.

    "erm, sekadar pendapat saya la kan, yang tak banyak ilmu agama ni..tak seharusnya kita menghalang orang dengan menjaga pemakanan mereka.."

    Pandangan saya jelas. Kita perlu patuh kepada hukum berkaitan makanan ini. Ini sepertimana yang saya sebutkan, “Apa yang dimaksudkan oleh Syeikh Dr. Abdul Karim itu bukanlah bermakna kita tidak perlu menjauhi makanan yang haram. Hukumnya adalah jelas dalam al-Quran dan as-Sunnah.” Itulah sebabnya saya menjelaskan isu ini berdasarkan riwayat2 yang SAHIH beserta penjelasan para ulama’ mu’tabar.

    Walaupun kurang bersetuju dengan mereka yang terlalu meneliti, saya katakan, “Saya hormati pandangan mereka yang menggunakan hujah ini. Mereka bebas beramal dengan pegangan ini.”

    Jelas sekali, saya tidak menghalang.

    BalasPadam
  3. "kita tak boleh meletakkan pengecualian dalam bab makanan ni, seperti mana bab2 yang encik istilahkan terlepas pangang seperti curi tulang dlm bab gaji dan sebagainya tu.."

    Seperti dijelaskan di atas, saya tak buat pengecualian. Dalam Islam, adanya awlaawiyaat (priority). [panjang ceritanya]. Memakan makanan haram adalah berdosa. Mencari makan dari sumber yang haram juga berdosa. Namun dosa “cari makan” ini lebih berat. Sehinggakan dalam al-Quran ada satu surah khusus yang dinamakan “al-Muthaffifin (Orang2 yg curang)” yang mencela mereka yang curang dalam urusniaga. Tetapi dalam isu makanan, dalil2nya tidaklah seberat itu.

    Selain itu, saya juga menjelaskan bagaimana pengamalan Nabi SAW sendiri dalam isu ini. Jelas sekali, ia mudah dan ringan.

    "tapi, seharusnya encik menggalakkan orang islam menguasai bab ekonomi atau makanan..sebabnya, punca perkara-perkara ini kerana kurang orang islam yang menjaga perkara dalam memilih bahan2 dalam makanan..saya rasa, encik perlu banyakkan membaca perkara-perkara yang diselewengkan oleh premis2 atau syarikat2..ataupun, banyakkan membaca tentang jenis2 bahan kandungan makanan yang digunakan sekarang..kalau encik banyakkan membaca seperti buku HALAL HARAM keluaran CAP(persatuan pengguna pulau pinang), saya percaya encik takkan karang ulasan sebegini, tapi mendapat kesedaran untuk sediakan pada umat2 islam makanan yang halal.."

    Bagi saya, ini isu yang jelas berbeza. Saya sendiri banyak membaca tentang perkara ini, mendengar taklimat daripada pegawai penyiasat badan agama etc. Dalam masa sama, saya juga membaca penulisan2 para ulama’ mu’tabar serta berdiskusi dengan pakar-pakar hukum dari dalam dan luar negara. Itulah sebabnya saya menulis post ini bagi menjelaskan kedudukan isu ini dari aspek hukum.

    saya teringat kisah imam abu hanifah, yang apabila beliau terdengar seekor kambing hilang, dia tak makan daging kambing semata-mata kerana takut kambing yang dimakannya tu adalah kambing yang hilang..kerana beliau tahu, walaupun kita makan dalam keadaan tak tahu, tapi kesannya tetap dapat..lihatlah macam mana ulama' menjaga darah dagingnya..

    Saya tidak pasti tentang riwayat ini, adakah sahih atau tidak. Dalam penulisan2 saya, walaupun kelihatan santai, saya hanya memetik riwayat2 yang dinilai sahih oleh para ilmuan hadis. Dlm mengarang post ini, saya telah menemui banyak dalil yang menunjukkan pengamalan para sahabat dalam hal ini. Disebabkan kesuntukan masa, saya tidak dapat memeriksa darjat riwayat2 tersebut. Itulah sebabnya saya tidak memuatkan riwayat2 itu dalam penulisan ini, sekalipun ia (riwayat2 itu) ditemui dalam kitab yang ditulis oleh tokoh yang hebat.

    Seandainya riwayat yang anda kemukakan di atas adalah sahih sekalipun, ia masih tidak dapat dijadikan hujah bagi mewajibkan orang ramai bersikap sedemikian. Ini kerana, dalam Islam, amalan Rasulullah SAW., adalah lebih utama untuk diikuti. Dalam isu ini, saya pasti Rasulullah SAW juga menjaga darah daging baginda. Para sahabat ra. juga menjaga darah daging mereka. Jelas sekali, mereka bermudah-mudahan dalam perkara ini.

    Imam Malik bin Anas r.a. berkata:

    “Tiada seorang pun selepas Nabi SAW. melainkan pendapatnya boleh diterima dan ditolak kecuali Nabi SAW.”
    [Al-‘Ajluni, Kasyf al-Khafa, jil. 2, ms. 119]

    Imam asy-Syafi’e r.a. menyebutkan:

    “Setiap perkara yang telah aku perkatakan, sedangkan ada riwayat sahih di kalangan para ulama hadis daripada Nabi SAW. menyanggahi apa yang aku ucapkan, maka aku menarik balik ucapanku semasa hidupku dan selepas aku meninggal dunia.”
    [adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala’ jil. 10, ms. 35]

    Sekian penjelasan. Harap menjawab soalan anda. Terima kasih.

    BalasPadam
  4. salam..saya sekadar nak bertanya..saya dah cek buku al-halal wal haram fil islam tu..yang encik nyatakan ni:

    “Dan tidaklah diwajibkan bagi seorang muslim untuk mempersoalkan sesuatu yang tidak kelihatan baginya: bagaimana cara penyembelihannya? Adakah ia melengkapi syaratnya (penyembelihan itu) atau tidak? Adakah disebutkan nama Allah ke atas sembelihan itu atau tidak? Bahkan kesemua yang tidak kita lihat daripada apa yang disembelih oleh seorang muslim – sekalipun (muslim yang menyembelih itu) seorang yang jahil atau fasiq – ataupun ahli kitab (yahudi dan kristian). Maka, memakannya (daging itu) adalah halal.


    Dan sesungguhnya kami telah menyebutkan sebelum ini tentang hadis Bukhari : “..suatu kaum telah datang bertanya kepada Nabi SAW: “Sesungguhnya suatu kaum telah memberikan kami daging. Kami tidak mengetahui samaada telah disebutkan nama Allah ke atasnya atau tidak!” Lalu baginda bersabda, “Bacakanlah (nama Allah) ke atasnya (daging itu) dan makanlah ia.”


    Maka berkata para ulama’ tentang hadis ini: “Ini adalah dalil bahawa sesuatu perbuatan dan urusan dinilai suci dan baik sehingga jelasnya bukti kerosakan dan keburukannya.”” [Syeikh Yusuf al-Qaradhawi dalam al-Halal wal Haram fil Islam, terbitan Maktabah Wahbah, Kaherah, cet. 24, tahun 2000, m/s: 60]

    perkara ni adalah menceritakan perihal SEMBELIHAN yang kita tak nampak..bukan bahan-bahan ingredient yang kita tak nampak..tapi, boleh ke kita guna hujah ni utk ingredient yang kita tak nampak?erm, sekadar bertanya, manalah tahu saya pon boleh guna utk berhujah pada orang..

    pas2, yang encik cakap "Saya sebutkan yang kita makan makanan yang ada logo halal, atau yang dibuat oleh umat Islam, atau makanan yang pada zahirnya halal", saya rasa encik perlu tambah pada artikel ni..sekadar pendapat saya..sebab, kalau xde tu, saya pun ingatkan encik tak berpendapat begitu..

    ape2 pun, terima kasih atas perkongsian artikel ni..erm, lagi satu, saya nak share something..mengenai badan2 yang bertanggungjawab ni..harap, encik pon dapat tengok..
    http://persatuanpenggunaislammalaysia.blogspot.com/search/label/MEDIA

    sekadar berkongsi..terima kasih..

    BalasPadam
  5. salam.

    1) Jika anda perasan, byk isu yg anda timbulkan sebenarnya dengan sendirinya terjawab dalam artikel di atas. Sy fikir, anda perlu lebih teliti dalam pembacaan anda.

    2) berkenaan "pas2, yang encik cakap "Saya sebutkan yang kita makan makanan yang ada logo halal, atau yang dibuat oleh umat Islam, atau makanan yang pada zahirnya halal", saya rasa encik perlu tambah pada artikel ni..sekadar pendapat saya..sebab, kalau xde tu, saya pun ingatkan encik tak berpendapat begitu.."

    saya telah pun sebutkan di dalam artikel di atas.. "Oleh demikian, seharusnya urusan ini tidak perlu dirisaukan lagi. Jika makanan itu mempunyai logo halal, maka ia boleh dimakan. Sekiranya tidak, maka makanlah apa-apa yang dihasilkan oleh umat Islam atau makanan yang pada zahirnya adalah halal seperti kopi, teh, susu, sayur-sayuran, buah-buahan, makanan laut dan sebagainya, tanpa perlu sibuk mencungkil apa yang tersembunyi."

    BalasPadam
  6. 3) berkenaan "perkara ni adalah menceritakan perihal SEMBELIHAN yang kita tak nampak..bukan bahan-bahan ingredient yang kita tak nampak..tapi, boleh ke kita guna hujah ni utk ingredient yang kita tak nampak?erm, sekadar bertanya, manalah tahu saya pon boleh guna utk berhujah pada orang.."

    Perkara ini terjawab dalam statement Qaradhawi itu sendiri. Beliau menyebutkan, "Maka berkata para ulama’ tentang hadis ini: “Ini adalah dalil bahawa sesuatu perbuatan dan urusan dinilai suci dan baik sehingga jelasnya bukti kerosakan dan keburukannya.”"

    Jelas sekali, para ulama' mengambil hadis ini secara umum. Ini dikuatkan lagi dengan hadis Abdullah b. Mughaffal di atas yang jelas sekali tidak menyebutkan isu sembelihan. Selain itu, jika dibaca penulisan al-Qaradhawi yang lain,kita dapat melihat keumuman perkara ini. Sbg contoh, dalam kitab "Fiqh Thaharah", beliau memberikan beberapa contoh lain termasuk penggunaan air yang tidak dapat dipastikan kesuciannya, roti yang mungkin dihasilkan daripada gandum yang mungkin terkena najis dsb. Kalau anda berkesempatan, anda boleh rujuk kitab tersebut.

    4) Sedikit tambahan mengenai logo halal, pada pandangan saya, isu ini hanya melibatkan produk-produk yang dihasilkan oleh bukan Islam atau produk yang dihasilkan oleh syarikat yang dimiliki ramai orang termasuk muslim dan nonmuslim, seperti KFC, Pizza Hut, Dutch Lady, Nestle etc.

    Bagi selainnya, umat Islam tak la kisah sangat. Sebagai contoh, majoriti premis makanan orang Islam tidak mempunyai logo halal. Tetapi umat Islam makan dengan di premis mereka dengan hati yang tenang. Sedangkan mungkin sahaja mereka memasukkan bahan-bahan yang tidak halal seperti ganja, bahan-bahan yang tiada logo halal dan sebagainya. Namun kaedah agama tidak menuntut kita untuk memeriksa dengan mendalam. Malah, kita tak dipertanggungjawabkan dengan sesuatu yang tidak kita ketahui atau yang tidak kita sengaja.

    Yang penting, asalnya adalah daripada orang Islam. Ini sepertimana hadis 'Aisyah di atas yang menyebutkan tentang daging yang diragui yang berasal daripada orang yang baru memeluk Islam dan hadis Abdullah b. Mughaffal yang menyebutkan tentang makanan yang berkemungkinan berasal daripada ahli kitab Yahudi serta tidak dipastikan dengan jelas ramuannya.

    Jika ia bukan daripada umat Islam dan tiada logo halal, maka dibolehkan makan produk-produk yang pada zahirnya halal sahaja seperti buah-buahan, teh, kopi, vegetarian food dsb.

    Saya juga menyokong usaha pihak berkuasa seperti JAKIM dan Jabatan-jabatan Agama dalam membanteras penipuan produk yang menggunakan logo halal ini. Malah, saya sendiri mengharapkan agar akta halal berjaya digubal. Kalau tak silap saya, hanya beberapa negeri sahaja lagi yang belum 'ban' logo halal swasta. Sekiranya semua telah sepakat, insha Allah, akta halal dapat digubal.

    Apa pun, seperti yang saya sebutkan sebelum ini, kewajipan pihak berkuasa tidak sama dengan kewajipan individu. Perbahasan di atas hanya melibatkan isu hukum di peringkat individu.

    Sekian, terima kasih.

    WaLLahu a'alam.

    BalasPadam