CAT-tegories:

Ahad, 17 Mei 2009

penyelewengan sejawah islam


Baru-baru ini saya ditanya berkenaan beberapa isu berkaitan dengan sejarah Islam, khususnya berkaitan isu-isu yang agak kontroversi berkenaan dengan Muawiyah, Yazid, Bani Umayyah, peristiwa karbala dan sebagainya.

Perkara-perkara tersebut memang merupakan isu yang sangat penting  untuk dibincangkan. Ini kerana, banyak penulisan-penulisan sejarah, termasuk di negara kita, yang dicemari oleh unsur-unsur distorsi sejarah yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu. Mereka yang terkeliru dalam hal ini bukanlah sahaja datang dari kalangan orang awam, malah ramai golongan agama juga yang tanpa sengaja mengambil kisah-kisah palsu ini, lalu menyebarkannya kepada para pengikut mereka.  

Maka tidak hairanlah apabila kisah-kisah sejarah yang tidak tepat lebih diketahui oleh umat Islam khususnya di Malaysia berbanding kisah-kisah yang sahih.

Tidak setakat itu, terdapat juga cendiakawan Islam terkemuka yang tanpa sengaja mencedok fakta-fakta sejarah dari sumber-sumber yang tidak tepat. Ini termasuklah Sayyid Abul A’ala al-Maududi, Syed Qutb, Syeikh Muhammad al-Ghazali dan Prof. Hamka. Lalu, pandangan mereka itu dikritik dan dibetulkan oleh ulama’ lainnya tanpa mereka itu dicemuh dan dicela atas kelemahan mereka itu.


“Ketika saya membaca pemikiran al-Maududi tentang sejarah dan peradaban Islam, seketika itu pula perasaan saya bergetar. Saya sangat hairan ketika dia menghukumi sejarah Islam dengan cara berlebihan. Padahal, dia memiliki keutamaan, kedudukan, kemuliaan dan kedalaman pemikiran. Baik dalam ilmu, pemikiran dan daya kritisme.

Hal ini menunjukkan bahawa manusia tetaplah manusia. Meskipun memiliki ilmu dan kemuliaan, pasti dia tetap memiliki kekurangan, kealpaan dan kesalahan. Hal itu terjadi kerana sikap yang berlebihan. Kerana, tidak ada yang maasum kecuali Nabi (SAW)."

[Syeikh Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya “Distorsi Sejarah Islam”]

Dalam post ini dan beberapa posts akan datang insha Allah, saya akan meletakkan beberapa artikel Captain Hafiz Firdaus Abdullah berkaitan isu-isu sejarah ini yang dipernah disiarkan dalam Majalah i tahun 2005.



**************

Pendirian Muawiyah Di Sebalik Perlantikan Yazid dan Pembunuhan Hasan.
Oleh


Apabila disebut nama Muawiyah bin Abi Sufyan radhiallahu 'anh, ia lazimnya dikaitkan dengan tiga peristiwa sejarah yang buruk. Pertama adalah Perang Siffin, kedua adalah tindakan Muawiyah melantik anaknya sendiri – Yazid bin Muawiyah – menjadi khalifah yang menggantinya dan ketiga adalah penglibatan Muawiyah dalam pembunuhan Hasan bin Ali radhiallahu 'anh. Dalam artikel sebelumnya [akan disiarkan dalam post akan datang, insha Allah - firdaus], kita telah meneliti pendirian Muawiyah di sebalik Perang Siffin. Maka dalam artikel ini insya-Allah, kita akan meneliti pendirian Muawiyah di sebalik perlantikan Yazid dan pembunuhan Hasan.


Perlantikan Hasan bin Ali sebagai khalifah.


Apabila Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh dibunuh, orang ramai melantik anaknya Hasan sebagai khalifah yang baru. Ali tidak mewasiatkan sesiapa jua untuk menjadi penggantinyasebagaimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga tidak mewasiatkan sesiapa menjadi pengganti baginda. Al-Imam al-Baihaqi rahimahullah (458H) meriwayatkan bahawa orang meminta kepada Ali: “Lantiklah pengganti ke atas kami!” Ali menjawab: 

“Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak melantik seorang pengganti (maka aku tidak akan menyelisihi sunnah sedemikian). Akan tetapi jika Allah mengkehendaki kebaikan kepada manusia, Allah akan mengumpul mereka sesudah aku di atas kebaikan mereka (sendiri) sebagaimana Allah telah mengumpul mereka (para sahabat) sesudah Nabi mereka shallallahu 'alaihi wasallam di atas kebaikan mereka (sendiri).” 
[al-Sunan al-Kubra (diteliti oleh Muhammad ‘Abd al-Qadir ‘Atha’; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1999), riwayat no: 16573]

Maksudnya, apabila masyarakat itu baik, maka kebaikan mereka secara tersendiri akan melahirkan seorang pemimpin yang baik ke atas mereka. Sebaliknya apabila masyarakat itu buruk, maka keburukan mereka secara tersendiri akan melahirkan pemimpin yang buruk ke atas mereka. Demikian peraturan Allah (sunnatullah) kepada manusia di mukabumi ini. 

Tindakan Ali yang tidak melantik seorang pengganti dan menyandarkan tindakannya itu ke atas sunnah Rasulullah membatalkan dakwaan Syi‘ah kononnya baginda telah melantik Ali sebagai khalifah pengganti ke atas umat Islam. Adapun ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah yang dijadikan dalil kekhalifahan Ali oleh Syi‘ah, semuanya adalah melalui takwilan yang batil. Alhamdulillah saya telah menyusun tiga buku khas dalam bab ini berjudul Jawapan Ahl al-Sunnah Kepada Syi‘ah al-Rafidhah Dalam Persoalan Khalifah terbitan Jahabersa, Johor Bahru.


Hasan menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah.


Sekalipun orang ramai melantik Hasan sebagai khalifah yang menggantikan ayahnya, Hasan lebih mengingini kemaslahatan dan persatuan umat Islam daripada jawatan tersebut. Pada saat itu umat Islam masih berselisih kerana para pembunuh Usman ibn Affan radhiallahu 'anh masih belum ditangkap. Hasan ingin menutup perselisihan ini. Pada pengamatan beliau, hal ini hanya mampu dicapai jika jawatan khalifah diserahkan kepada Muawiyah. Maka tanpa berbelah bahagi Hasan menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah dan kemudian membai‘ah Muawiyah sebagai khalifah umat Islam yang baru. Tindakan Hasan ini memiliki beberapa kepentingan:


Pertama: Ia menunjukkan kemuliaan tak tertanding yang dimiliki oleh Hasan bin Ali. Beliau lebih mencintai apa yang baik untuk umat Islam melebihi segala-galanya. 

Kedua: Ia membenarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang pada masa hidupnya telah bersabda di atas mimbar sambil mendukung Hasan yang ketika itu masih kecil:

“Sesungguhnya cucuku ini adalah Sayyid, semoga Allah mendamaikan dengannya dua kumpulan umat Islam yang sedang berselisih.” 
[Shahih al-Bukhari – hadis no: 3629]

Al-Qadhi Ibn al-‘Arabi mengulas dua kepentingan di atas: 


“…Hasan lebih berhak daripada Muawiyah dan orang-orang yang lain (untuk jawatan khalifah). Beliau memiliki sifat-sifat seperti ayahnya, iaitu mengajak kumpulan yang berselisih kepada kebenaran dan ketaatan. Maka (bagi Hasan) perdamaian diberi kepentingan (priority) dan semua masalah lain diketepikan. Ini semua adalah untuk menghindari pertumpahan darah di kalangan umat Islam dan membenarkan sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bahawa Hasan adalah seorang juru damai.” 
[al-‘Awashim min al-Qawashim, ms. 206-207]


Ketiga: Ia membuktikan bahawa Muawiyah bukanlah musuh atau pemberontak. Ini kerana jika Muawiyah adalah musuh atau pemberontak, yang menjadi wajib adalah perang dan bukannya perdamaian. Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah menerangkan: 

“Ini menunjukkan bahawa mendamaikan antara dua kumpulan adalah baik dan terpuji, dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya. Apa yang dilakukan oleh Hasan adalah daripada keutamaan beliau yang amat agung dan kedudukannya yang dipuji oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Seandainya perang adalah wajib atau disunatkan, nescaya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam tidak akan memuji sesiapa jua yang meninggalkan kewajipan atau kesunatan tersebut.” 
[Minhaj al-Sunnah, jld. 4, ms. 531-532]


Keempat: Ia membuktikan bahawa Syi‘ah bukanlah pendukung Hasan secara khusus dan Ahl al-Bait secara umum. Ini kerana jika mereka adalah pendukung yang sebenar, pasti mereka rela ke atas tindakan Hasan yang menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah. Namun riwayat-riwayat sejarah menunjukkan mereka amat marah dan benci kepada Hasan atas tindakannya itu. Malah dalam sebahagian kitab mereka, Husain lebih diberi keutamaan berbanding Hasan. 


Muawiyah seorang pemerintah yang cemerlang.


Dalam artikel sebelumnya, kita dapat mengenal bahawa Muawiyah bukanlah calang-calang orang, tetapi seorang sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang memiliki banyak keutamaan. Pernah seorang lelaki bertanya kepada al-Mu‘afi bin Imran rahimahullah: 

“Wahai Abu Mas‘ud (gelaran al-Mu‘afi)! Bagaimana kedudukan Umar bin Abdul Aziz berbanding Muawiyah bin Abi Sufyan?” 

Al-Mu‘afi menjadi amat marah mendengar soalan tersebut, lantas menjawab: 

“Para sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak dapat dibandingkan dengan sesiapa jua. Muawiyah adalah seorang sahabat (Rasulullah), ipar baginda, jurutulis baginda dan kepercayaan baginda dalam menulis wahyu Allah.” 

[Diriwayatkan oleh al-Imam al-Khatib al-Baghdadi (463H) di dalam Tarikh Madinah al-Salam (diteliti oleh Basyar ‘Awwad Ma’ruf; Dar al-Gharb al-Islami, 2001), jld. 1, ms. 577]


Muawiyah juga memiliki satu keutamaan yang khusus, iaitu beliau memiliki ciri-ciri kepimpinan (leadership qualities) yang amat baik. Di atas ciri-ciri inilah beliau dapat memerintah negara Islam pada zamannya dengan penuh kecemerlangan, keadilan, kemakmuran dan kekuatan. Ciri-ciri ini dipersaksikan oleh para sahabat yang lain. Di antaranya ialah Abdullah ibn Abbas radhiallahu 'anh dimana beliau pernah berkata: 

“Belum pernah aku melihat orang yang lebih istimewa dalam pemerintahannya selain Muawiyah.” 

[Diriwayatkan oleh al-Imam ‘Abd al-Razzaq (211H) di dalam al-Musannaf (diteliti oleh Habib al-Rahman al-‘Azhami; al-Maktab al-Islami, Beirut, 1983), riwayat no: 20985]

Abdullah ibn Umar radhiallahu 'anh turut berkata: 

“Tidak pernah aku melihat seorang jua selepas Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang lebih bijak kepimpinannya selain Muawiyah.” 

Orang bertanya: 

“Tidak juga Abu Bakar al-Siddiq?” 

Ibn Umar menjawab: 

“Tidak juga Abu Bakar al-Siddiq akan tetapi Abu Bakar adalah lebih baik daripada beliau (dalam sudut-sudut yang lain). 

Orang bertanya lagi: 

“Tidak juga Umar?” 

Ibn Umar menjawab: 

“Tidak juga Umar akan tetapi Umar adalah lebih baik daripada beliau (dalam sudut-sudut yang lain).” 

[Diriwayatkan oleh al-Imam Ibn Asakir (571H) di dalam Tarikh Dimashq al-Kubra (diteliti oleh ‘Ali ‘Asyur; Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, Beirut, 2001), jld. 62, ms. 120] 

Qabishah bin Jabir rahimahullah berkata: 

“Belum pernah aku melihat orang yang lebih agung kesantunannya, lebih besar kemuliaannya dan lebih lemah lembut pemerintahannya melainkan Muawiyah.”

[Tarikh Dimashq al-Kubra, jld. 62, ms. 123]. 

Bahkan Mujahid rahimahullah pernah berkata: 

“Seandainya kalian melihat Muawiyah, nescaya kalian akan mengatakan: Inilah Mahdi!” 

[Tarikh Dimashq al-Kubra, jld. 62, ms. 119]

Terdapat banyak keterangan daripada para sahabat dan para tokoh daripada zaman selepas para sahabat berkenaan kecemerlangan pemerintahan Muawiyah, sehingga berkata Syaikh Muhib al-Din al-Khatib rahimahullah: 

“Di antara perkara yang perlu dikaji berkenaan sejarah Arab dan Islam adalah untuk mengetahui bahawa Muawiyah mempelopori kepimpinan, kepanglimaan dan pembentukan hukum.” 

[catitan notakaki kepada al-‘Awashim min al-Qawashim, ms. 211]

Mengenali kecemerlangan pemerintahan Muawiyah adalah penting kerana ia membentuk dasar kepada pengajian kita tentang sejarah pemerintahan beliau. Sebelum ini, kebanyakan umat Islam hanya mengenali Muawiyah sebagai seorang yang jahat lagi tercela, hasil daripada pengaruh Syi‘ah. Semua ini menyebabkan mereka membaca sejarah pemerintahan beliau dengan mindset yang negatif. Kini, kita akan mengkaji semula sejarah pemerintahan beliau dengan mindset yang positif.


Pendirian Muawiyah di sebalik perlantikan Yazid.


Sejarah versi Syi‘ah mencela Muawiyah kerana telah menyerahkan jawatan khalifah kepada anaknya Yazid. Penyerahan ini, menurut Syi‘ah, membuktikan bahawa Muawiyah bukanlah pemerintah yang adil. Bahkan ia membuktikan Muawiyah tamak kepada jawatan tersebut dan enggan melepaskannya kecuali kepada keturunannya sendiri.

Adapun di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, tindakan Muawiyah tidak lain adalah kerana kemaslahatan yang ingin beliau berikan kepada seluruh umat Islam. Al-Allamah Ibn Khaldun rahimahullah (808H) menerangkan kemaslahatan ini: 

“Seorang imam tidak sewajarnya dicurigai meskipun dia telah melantik ayah atau puteranya sendiri sebagai penggantinya. Dia telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan kebajikan kaum muslimin selagi dia masih hidup. Lebih daripada itu dia bertanggungjawab untuk membasmi, semasa hidupnya (kemungkinan mewabaknya perkara-perkara yang tidak diingini) setelah kematiannya …. Malah, dia tidak harus sama sekalinya dicurigai dalam apa jua hal pun. Lebih-lebih lagi sekiranya ada alasan (untuk melantik seorang pengganti itu), seperti keinginannya untuk meningkatkan kepentingan umum, atau kekhuatiran akan terjadinya suatu malapetaka (sekiranya tidak dilantik seorang pengganti), oleh itu meragui seorang imam itu adalah bukan persoalannya.

Hal yang sedemikian sebagai satu contoh adalah sebagaimana yang berlaku apabila Muawiyah melantik puteranya, Yazid. Tindakan itu diambil dengan persetujuan rakyat dan, dengan kerana itu, dengan sendirinya menjadi satu bahan hujah kepada persoalan yang dibincangkan. Akan tetapi, Muawiyah sendiri bersikap lebih menyokong puteranya Yazid berbanding dengan bakal penggantinya yang lain. Sebabnya ialah, dia lebih menitikberatkan kepentingan umum yang menghendaki adanya perpaduan dan harmoni di kalangan masyarakat itu, kerana orang yang menerajui kuasa eksekutif, iaitu Bani Umayyah, pada waktu itu bersetuju melantik Yazid. 

Tidak ada motif yang lainnya daripada Muawiyah. Hemahnya yang tinggi dan hakikat bahawa dia merupakan salah seorang daripada sahabat-sahabat Nabi mencegah keterangan yang lain-lainnya. Fakta bahawa dia sering datang kepada para sahabat terkemuka, untuk dimintai nasihat, dan kenyataan bahawa mereka tidak memberikan pendapat (yang bertentangan) merupakan bukti tidak adanya kecurigaan atas dirinya. Mereka (para sahabat) tidak termasuk orang gegabah yang mengambil keputusan dalam masalah kebenaran, dan demikian pula Muawiyah tidak mudah seenaknya menerima kebenaran. Mereka mempunyai peranan masing-masing dalam masalah ini, dan keadilan mereka menahan diri mereka untuk bertindak sewenang-wenangnya.” 

[Muqaddimah (edisi terjemahan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1995), ms. 229-230]

Demikian penjelasan Ibn Khaldun. Sebelum beralih kepada penelitian seterusnya, ingin saya menarik perhatian para pembaca sekalian kepada satu fakta menarik. Kita perhatikan Syi‘ah mencela Muawiyah kerana menjadikan jawatan khalifah sesuatu yang diwarisi oleh keturunannya. Bukankah pada waktu yang sama Syi‘ah juga menjadikan jawatan khalifah sesuatu yang diwarisi oleh keturunan, iaitu keturunan Ahl al-Bait Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam? Yang dapat kita katakan adalah, celaan Syi‘ah ke atas tindakan Muawiyah berbalik menjadi celaan ke atas diri mereka sendiri.


Pendirian Muawiyah di sebalik pembunuhan Hasan.


Apabila ditanya kepada orang ramai, siapakah yang membunuh Hasan? Pasti mereka menjawab“Muawiyah”. Malah mereka mampu memperincikannya, konon Muawiyah telah merasuah isteri Hasan untuk meracuni suaminya. Sebagai ganjaran, isteri tersebut akan diberi sejumlah bayaran wang dan dikahwinkan dengan Yazid bin Muawiyah. Demikianlah kemasyhuran sejarah versi Syi‘ah sehingga orang ramai menganggapnya sebagai satu peristiwa yang benar-benar berlaku.

Yang benar adalah, tidak ada apa-apa bukti untuk menuduh mahupun mengaitkan Muawiyah dengan peristiwa pembunuhan Hasan. Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah menegaskan: 

“Dan adapun pendapat: “Sesungguhnya Muawiyah meracuni Hasan”, maka ia adalah daripada perkara yang disebut-sebut oleh sebahagian orang, padahal tidaklah tuduhan yang sedemikian sabit daripada penjelasan syari‘at atau pengakuan orang yang muktabar dan tidak juga dinukil secara tegas berkenaannya. Dan ia adalah daripada sesuatu yang tidak mungkin berdasarkan ilmu, maka berkata dengannya adalah perkataan yang berdiri tanpa ilmu.” 

[Minhaj al-Sunnah, jld. 5, ms. 469]

Paling kurang terdapat tiga sebab kenapa dikatakan “ia adalah daripada sesuatu yang tidak mungkin berdasarkan ilmu”. 

Pertama: Muawiyah sendiri pada asalnya tidak pernah memandang Hasan sebagai persaingan dalam jawatan khalifah. Beliau mengenali Hasan sebagai seorang insan yang memiliki pelbagai ciri-ciri mulia. Antara ciri mulia tersebut adalah Hasan sanggup menyerahkan jawatan khalifah kepadanya (Muawiyah) demi kemaslahatan umat Islam dan beliau tidak memiliki hasrat untuk merebutnya kembali. Muawiyah mengetahui bahawa Hasan berpegang teguh kepada sabda datuknya shallallahu 'alaihi wasallam: 

“Sesungguhnya cucuku ini adalah Sayyid, semoga Allah mendamaikan dengannya dua kumpulan umat Islam yang sedang berselisih.” 

[Shahih al-Bukhari – hadis no: 3629]

Kedua: Jika Hasan adalah persaingan kepada Muawiyah, maka “membasmi” persaingan politik bukanlah merupakan tindak-tanduk seorang pemerintah yang cemerlang. Ia hanya akan menimbulkan rusuhan daripada masyarakat dan ini akhirnya akan memberi natijah yang buruk kepada pemerintah itu sendiri. Oleh itu seandainya Hasan menjadi persaingan kepada Muawiyah, pasti beliau akan bermusyawarah dengannya dalam mencari jalan keluar yang terbaik kepada agama, umat dan negara.

Ketiga: Cerita kononnya “Muawiyah merasuah isteri Hasan untuk meracuni suaminya” bukan sahaja merupakan fitnah ke atas Muawiyah tetapi juga ke atas Hasan. Ini kerana cerita tersebut menunjukkan seolah-olah Hasan telah memilih seorang isteri yang fasiq dan tidak prihatin ke atas tindak-tanduk isterinya yang sanggup menerima rasuah untuk meracuni dirinya. Hal ini sungguh tidak mungkin berlaku ke atas Hasan yang memiliki keimanan yang jitu, ketaqwaan yang teguh, keilmuan yang tinggi, wawasan yang luas dan kemuliaan yang tidak tertanding. Justeru Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah bukan sahaja menolak cerita “Muawiyah merasuah isteri Hasan untuk meracuni suaminya” dalam rangka membersihkan nama Muawiyah tetapi juga dalam rangka membersihkan nama Hasan. Pada waktu yang sama dapat juga kita perhatikan bahawa dalam rangka Syi‘ah membuat fitnah ke atas Muawiyah, mereka juga membuat fitnah yang tersembunyi yang lebih berbisa ke atas Hasan.

Dengan itu tinggal satu persoalan, siapakah yang meracuni Hasan? Apabila tidak ada bukti yang kukuh dalam persoalan ini, Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah menahan diri daripada menuduh sesiapa. Seorang penjenayah mungkin terlepas di dunia tetapi dia tidak akan terlepas di Akhirat. Andai kata dibolehkan membuat tuduhan, maka pihak yang paling layak menjadi suspect ialah orang-orang Syiah itu sendiri. Ini kerana tidak ada sesiapa jua yang lebih benci dan marah ke atas Hasan disebabkan tindakannya menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah melainkan orang-orang Syi‘ah itu sendiri.

******

**nota: saya telah melakukan sedikit perubahan pada format dan color (jika dibandingkan dengan artikel asal) - firdaus.

19 ulasan:

  1. o.O
    jap lagi baru nak baca.hehe
    [makan dulu]

    BalasPadam
  2. dh habis baca...
    tefikir & berfikir ttg buku2 favrot sy yg dtulis oleh penulis yg dsnaraikn tanpa sengaja mencedok fakta-fakta sejarah dari sumber-sumber yang tidak tepat..

    :(

    BalasPadam
  3. byk penulisan diowang yg bagus.. tp mcm karadawi sbut, "manusia tetap manusia."

    lgpun diorg bkn ahli sejawah. biasa la. x sume manusia org pakar dlm sume pkara. mungkin pd masa tu diowang melihat adanya kepentingan menulis ttg sejawah umat Islam. dan diowang dh wat apa yg diowang termampu. so insha Allah, diowang dh dpt pahala usaha diowang.

    tp bg kita yg dh tau ni, kita kna la betulkan apa yg kita kefahaman kita thdp sejawah.

    BalasPadam
  4. Abg firdaus, saya ada baca buku 100 wanita terbilang... dalam buku tuh banyak burukkan muawiyah.. sebelum nih, saya sendiri fikir, memang betul cucu Nabi, Hasan diracun oleh isterinya.. hmmm... baguslar artikel nih.. kalau tak mesti saya percaya jer dengan kisah dalam buku tuh..

    BalasPadam
  5. Kan sy sebut..

    "Maka tidak hairanlah apabila kisah-kisah sejarah yang tidak tepat lebih diketahui oleh umat Islam khususnya di Malaysia berbanding kisah-kisah yang sahih."

    1. ramai penulis2 syiah tp x menzahirkan diri mereka sbg syiah menulis buku2 yg mengandungi sumber2 syiah. ramai org terkeliru dgn penulisan2 ini.

    2. Ramai juga org, termasuk ustaz2 yg x teliti thdp thdp fakta2 sejarah mencedok drp sumber2 yg x tepat ini. Perkara ini bkn semata2 berlaku di kalangan golongan agama biasa, tetapi tmasuk dari kalangan tokoh2 besar yg bkn pakar dlm bidang sejarah, spt yg dsebutkan di atas.

    3. Mereka kemudiannya menyebarkannya dlm kelas2 pengajian, ceramah2 dan penulisan2 mereka menyebabkan pengikut2 dan pembaca2 buku mereka turut terkeliru lalu menganggap fakta2 ini benar.

    Jadi, bkn Ika seorang je yg mengalaminya, ramai org lain juga mengalami perkara ini. So, apa yg kita bleh buat, sebarkan kisah2 dr sumber yg sahih, supaya kita bleh bersihkan kekeliruan ini dlm masyarakat kita.

    WaLLahu a'alam.

    BalasPadam
  6. Mungkin sebab tak banyak kajian tentang sejarah pemimpin2 islam....dan kita biasa membaca tentang sejarah melayu dan malaysia.

    BalasPadam
  7. sy lembab sket psl sejawah...x abis lg bc awticle nih...akan di bc & di digest nnti, insyallah..

    BalasPadam
  8. to mila:

    sy wase x jugak.. sbnrnya klu owang jahil sejawah, xde masalah sgt.

    tp bila owang blaja psl sejawah tp dawi sumber yg x sahih atau yg tlah dicemawi oleh meweka2 yg ada agenda kotor.. itu lebih besar masalahnya..

    perkawa cmni byk disebarkn oleh golongan agama. tu la masalahnya. klu x silap, ni tmsk dlm silibus skola menengah..

    BalasPadam
  9. to Siti W:

    baca jgn x baca.. digest jgn x digest..

    BalasPadam
  10. mencabaw jgk nk blaja sejawah ni, ek...mcmana nk tau mana yg btl mana yg x btl...isk isk..

    huhuhu...namaku dah bewtuka nampaknya T_T

    BalasPadam
  11. agak susah sbnrnya. kna wefer kpd sumber2 yg authentic la.

    BalasPadam
  12. nak tau authentic ke x pun satu cabawan gak, kan? Mcm yg bwo tulis,

    "terdapat juga cendiakawan Islam terkemuka yang tanpa sengaja mencedok fakta-fakta sejarah dari sumber-sumber yang tidak tepat. Ini termasuklah Sayyid Abul A’ala al-Maududi, Syed Qutb, Syeikh Muhammad al-Ghazali dan Prof. Hamka. Lalu, pandangan mereka itu dikritik dan dibetulkan oleh ulama’ lainnya tanpa mereka itu dicemuh dan dicela atas kelemahan mereka itu."

    Bak kata Leo Tolstoy (cedok dawi quotation of the day :P ),

    "Error is the force that welds men together; truth is communicated to men only by deeds of truth."

    -agak kena dgn petikan di atas, dun ya think?

    BalasPadam
  13. to Siti W:

    ya, sy setuju. tmbhn plak kebanyakan wujukan tu masih lg x ditwanslate ke dlm BM.

    so, pd pandangan sy, golongan agamalah yg bertanggungjawab utk menyemak pengetahuan sejawah islam meweka, samaada sahih or x. sbb owang awam xkan tau sstu mklmt yg bkaitan agama - samaada yg sahih atau yg x sahih - sekiwanya meweka x menyebarkannya.

    dlm buku "distorsi sejawah Islam" sheikh al-Qaradhawi, menyawankan agar disegewakan pwojek menyusun semula sejawah Islam yg bewasaskn sumber yg sahih bg memudahkan umat Islam masa kini. klu ada owang sahut sewuan sheikh ni, insha Allah, kita akan btmbh mudah..

    BalasPadam
  14. salam,, satu perkongsian yang amat menarik
    ia telah menambahkan ilmu ana dalam perkara2 berkaitan ini kerana ana sendiri terkeliru kadang2 dengan sejarah yang dibaca selama ini.
    terima kasih yang teramat sangat ana ucapkan

    BalasPadam
  15. to Ahmad Shazmie:

    salam. insha Allah, ada 2 lg artikel yg akan sy post bkaitan dgn sejarah ni..

    BalasPadam
  16. salam bwo...sy menyebok lg d cni..huhu...

    sy follow blog Faisal Tehrani. Entri terbawu dia menawik phatian sy - psl Yazid. Pegi ke:
    http://tehranifaisal.blogspot.com/2009/05/yazid.html

    Komen drp Ali Akhbar agak menawik (mgkin dia byk mbaca sejawah yg ditulis oleh golongan syiah?)

    Btl ke Yazid memiliki kawektor sebegitu? Mgkin blh dikupas dlm entri bwo yg akan dtg :)

    BalasPadam
  17. to siti wahmah:

    dlu kan pnh cam ada kecoh2 bila mufti pewlis yg dulu dr. mohd aswi zainul abidin mengkwitik/'btikam lidah' dgn faisal tehwani ni..

    antawanya psl isu2 sebegini la.. dia byk menewapkan unsuw2 syiah dlm penulisannya..

    BalasPadam