CAT-tegories:

Selasa, 29 Mac 2011

Taw dan maw ja tak cukup..



Saya sering bertanya kepada para muallaf atau mereka yang sedang menjalani latihan dakwah bersama PERKIM Ampang, “Jika pada suatu hari, Arnold Schwarzenegger beradu kekuatan dengan Sheikh Fahmi Saufi dalam pertandingan angkat berat, siapakah yang akan menang?”


Jawapan yang diberikan, “Mestilah Arnold Schwarzenegger!”

Kemudian, saya tanya lagi, “Bagaimana pula di waktu subuh.. siapakah yang mampu mengangkat selimutnya untuk bangun menunaikan solat di kala dia sedang nyenyak tidur?"


"Siapakah yang mampu mengangkat air untuk disapukan ke muka dan tangan di kala kesejukan subuh??”


Kita semua tahu bahawa Tuhan menyuruh kita melakukan apa yang baik dan melarang apa yang buruk, menghalalkan apa yang baik dan mengharamkan apa yang buruk.

“(Yaitu) orang-orang yang mengikut Rasul,
Nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis
di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka,
yang menyuruh mereka mengerjakan yang baik
dan melarang mereka dari mengerjakan yang buruk
dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik
dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk
dan membuang dari mereka beban-beban
dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka.
Maka orang-orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya
dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al Qur'an),
mereka itulah orang-orang yang beruntung.”
(al-A’araaf 7:157)

Namun, mengetahui apa yang baik dan apa yang buruk sahaja tidak cukup. Mahu melakukan apa yang baik dan mahu meninggalkan apa yang buruk sahaja tidak cukup. Sebagai contoh, ramai orang tahu bahawa merokok itu membahayakan kesihatan dan mahu meninggalkannya, namun ramai yang tidak mampu.

Itu sebabnya kita memerlukan kekuatan untuk melaksanakan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Kekuatan inilah yang disebutkan sebagai IMAN.

Daripada Abu Sa’id al-Khudri ra:

…Nabi SAW. bersabda:
“Sesungguhnya Allah telah melarang arak.
Sebab itu, sesiapa yang telah sampai kepadanya ayat ini

(“Wahai orang-orang yang beriman!
Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala,
dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah,
adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan.
Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya….”
(al-Maidah 5:90)),

dan dia masih ada arak, maka tidak boleh diminumnya dan tidak boleh dijualnya.”

Kata Abu Sa’id:
Lalu orang ramai menumpahkan arak masing-masing di jalan-jalan kota Madinah.
[Riwayat Muslim]



Keutamaan iman


Amalan kita adalah ibarat buah dan iman adalah ibarat pokok. Pokok yang baik menghasilkan buah yang baik, manakala pokok yang tidak baik menghasilkan buah yang tidak baik. Sudah tentulah pokok itu perlu dijaga dahulu sebelum kita dapat menikmati hasil buah yang baik.


“Orang yang beriman adalah sangat menakjubkan!
Semua perbuatannya baik-baik belaka, dan itu hanya pada orang beriman.
Jika ia mendapat kesenangan, dia bersyukur dan itu baik baginya.
Jika dia ditimpa bahaya, dia bersabar dan itu juga baik baginya.”
(Riwayat Muslim)

Itulah sebabnya al-Quran sentiasa mendahulukan iman sebelum amal soleh.

“Dan sampaikanlah berita gembira kepada
mereka yang beriman dan beramal saleh,
bahwa bagi mereka disediakan surga-surga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya...”
(al-Baqarah 2:25)


“Dan orang-orang yang beriman serta beramal saleh,
mereka itu penghuni syurga; mereka kekal di dalamnya.”
(al-Baqarah 2:82)


“...apabila mereka bertakwa serta beriman,
dan mengerjakan amalan-amalan yang saleh,
kemudian mereka tetap bertakwa dan beriman,
kemudian mereka (tetap juga) bertakwa dan berbuat kebajikan.
Dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.”
(al-Maidah 5:93)

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal saleh,
mereka diberi petunjuk oleh Tuhan mereka karena keimanannya,
di bawah mereka mengalir sungai- sungai di dalam syurga yang penuh kenikmatan.”
(Yunus 10:9)

Itulah sebabnya juga pada tahun-tahun awal dakwah Rasulullah SAW, fokus utama adalah kepada pembinaan iman. Ayat-ayat hukum hanya diturunkan sekitar tahun-tahun akhir dakwah baginda. Disebabkan iman yang mantap, para sahabat tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengikuti segala yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarang kepada mereka.

Malah, dengan kekuatan iman, mereka berjaya menghadapi pelbagai ujian dan cabaran yang datang kepada mereka. Hasilnya, hanya dalam tempoh 30 tahun, Islam telah sampai ke 2/3 dunia.

"Sesungguhnya orang-orang yang
sebenar-benarnya beriman

hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya,
kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi,
lalu mereka berjuang dengan harta benda
dan jiwa mereka pada jalan Allah;

mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya)."
(al-Hujurat 49:15)

Malangnya pada hari ini, umat Islam lebih berminat isu hukum-hakam berbanding isu iman. Mereka lebih sibuk berkata “ini haram, itu haram” berbanding melakukan diagnos dan merawat iman masyarakat. Malah, ramai yang menganggap isu negara, ekonomi, hudud dan sebagainya adalah lebih besar berbanding perkara-perkara yang terkandung dalam rukun iman dan rukun Islam.

Lebih malang lagi, pendekatan yang sama turut digunakan terhadap mereka yang baru memeluk Islam atau baru berjinak-jinak dengan Islam. Hasilnya, Islam akan dipandang berat dan dianggap sebagai sebuah agama yang susah yang penuh dengan “dos and don’ts”.


Membina Iman


Apabila seseorang memeluk Islam, maka perkara pertama yang perlu diketahuinya adalah rukun iman dan rukun Islam. Perkara-perkara pertama yang perlu dilengkapi dari sudut pengamalan juga adalah perkara-perkara yang terkandung di dalam rukun-rukun ini. Ia dilaksanakan secara berperingkat, kecuali perkara yang belum diwajibkan kepadanya.

Kita dapati bahawa perkara-perkara yang terdapat dalam rukun iman dan rukun Islam hanyalah berkaitan isu individu. Ia bermula dengan konsep kepercayaan dan kemudian diikuti dengan ‘program-program’ atau ‘riadhah’ atau ‘latih tubi’ bagi membentuk kekuatan iman individu Muslim.

Di sini saya bukanlah ingin membincangkan secara terperinci tentang rukun iman dan rukun Islam. Cuma, saya hanya ingin membincangkan konsep dan ‘priorities’ yang umat Islam sering terlepas pandang berkenaan isu ini.


Alat dan matlamat


Setelah seseorang itu mengenali Allah dan RasulNya, meyakini KitabNya dan pembalasanNya di akhirat, perkara pertama yang diwajibkan kepada seseorang adalah solat.


Sekali lagi, kita sering tersilap fokus. Kita lebih banyak menumpukan perhatian kepada isu ‘letak tangan di dada atau di perut’, ‘merapatkan jari atau merenggangkan jari’, ‘turun lutut dahulu atau tangan dahulu’, ‘bismillah secara sirr atau jahr’ dan sebagainya. Kita tidak nafikan bahawa isu-isu ini adalah sebahagian daripada kesempurnaan solat.

Namun bagi seseorang yang baru berjinak-jinak dengan solat, perbincangan yang terlalu detail akan memberatkannya. Akhirnya, dia sibuk berfikir tentang pergerakan berbanding apa yang sepatutnya difikirkan dalam solat. Sedangkan, lebih utama daripada itu adalah mengetahui dan mencapai matlamat solat.

"Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku;
oleh itu, sembahlah akan Daku,
dan dirikanlah solat untuk mengingati Daku.
[Taha 20:14]

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,
Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.
(al-Mu’minun 23:1-2)

Tidak mungkin iman seseorang boleh dibina dengan hanya pergerakan-pergerakan solat yang sempurna sedangkan hatinya lalai daripada mengingati Allah. Dia mungkin mengangkat takbir dengan sempurna, menyebut “Allahu Akbar” (Allah Maha Besar) dengan sempurna, tetapi hatinya membesarkan perkara lain. Itulah sebabnya Allah mencela mereka yang lalai dalam solat.

“Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat;
(yaitu) orang-orang yang lalai dalam solatnya..
(al-Maa’uun 107:4-5)

Jelas sekali, dalaman solat adalah lebih utama daripada pergerakan anggota.

Sekiranya seseorang itu benar-benar menghayati solatnya, hadir hatinya, memahami apa yang diungkapkannya, merasai kehadiran Allah di hadapannya, tunduk dan merendah diri terhadap keagunganNya, memohon petunjuk dan keampunan daripadaNya, takut akan azabNya serta mengharap ganjaran daripadaNya, insha Allah, seseorang itu akan menikmati kemanisan solat.


Maka dengan sendirinya, solat 5 waktu yang pada mulanya dirasakan berat itu menjadi mudah.

“Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu.
Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat,
kecuali bagi orang-orang yang khusyuk
(al-Baqarah 2:45)

Setelah itu, seseorang itu juga akan dengan sendirinya berusaha menyempurnakan solatnya dengan mempelajari fiqh solat yang lengkap bagi membaiki kekurangan-kekurangan solatnya.

Seperti disebutkan sebelum ini, mengetahui apa yang baik dan apa yang buruk sahaja tidak cukup. Mahu melakukan kebaikan dan mahu meninggalkan kejahatan sahaja juga tidak cukup. Kita memerlukan kekuatan. Dengan kekuatan iman yang dibina serta petunjuk dan peringatan yang didapati dalam solat dari semasa ke semasa, sehari semalam, insha Allah, seseorang itu mampu untuk melaksanakan perintah-perintah Allah yang lain serta berjaya meninggalkan segala perbuatan keji dan munkar.

“Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu,
yaitu Al Kitab (Al Quran) dan dirikanlah solat.
Sesungguhnya solat itu
mencegah dari (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar.

Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat)
adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain).
Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
(al-Ankabut 29:45)

Itulah sebabnya, sekiranya kita masih tidak mampu meninggalkan perbuatan-perbuatan munkar, maka perkara pertama yang perlu kita periksa adalah kesempurnaan solat kita!

Begitu juga halnya dengan puasa. Matlamat puasa adalah membina taqwa.

“Hai orang-orang yang beriman,
diwajibkan atas kamu berpuasa
sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu
agar kamu bertakwa
(al-Baqarah 2:183)


Ini dicapai dengan mendidik hawa nafsu. Namun, apabila matlamat Ramadhan yang sepatutnya menjadi ‘Summer Camp’ bagi umat Islam mendidik hawa nafsu tidak dihayati, bulan Ramadhan telah menjadi bulan memuaskan hawa nafsu. Kita dapati pesta makanan berada di mana-mana. Makanan yang tiada di bulan-bulan lain hanya muncul di bulan Ramadhan. Pakej-pakej buffet ‘All You Can Eat’ ditawarkan di merata tempat. Akhirnya, mereka makan dengan berlebihan dan sering kali berlaku pembaziran.

“Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) mesjid,
makan dan minumlah,
dan janganlah berlebih-lebihan.
Sesungguhnya Allah tidak menyukai
orang-orang yang berlebih-lebihan.”
(al-A’araf 7:31)

“Sesungguhnya pembazir-pembazir itu adalah saudara-saudara syaitan
dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.”
(al-Isra’ 17:27)

Sekali lagi, matlamat tidak tercapai!


Yang penting adalah hati...


Sebahagian orang berkata, "tak kisah la dia solat atau tidak.. tak kisah la dia pakai tudung atau tidak.. yang penting, hatinya baik.."

Dakwaan ini tidak benar. Ini kerana hati yang baik adalah disebabkan oleh iman yang baik. Iman yang baik akan membuahkan amal yang baik.

Tidak mungkin seseorang yang mengaku mencintai Tuhannya sanggup melakukan sesuatu yang dibenciNya. Tidak mungkin seseorang yang benar-benar takut kepada Tuhannya akan meninggalkan suruhanNya. Tidak mungkin seseorang yang benar-benar mengimpikan syurga akan beramal dengan amalan ahli neraka.

Sabda Rasulullah SAW:
“Tidak akan berzina seorang penzina itu
sekiranya ketika dia hendak berzina itu
dia seorang yang beriman,”
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.)

Apabila hati baik, amalan kita juga akan menjadi baik.

Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a;
Nabi SAW. bersabda:
“Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging
bila baik nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya
dan bila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya.
Ketahuilah! iaitulah Qalbu (hati).
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.)


Kesimpulan


Bangunan yang kukuh mempunyai struktur asas yang kukuh. Tiada gunanya seseorang yang ingin membina bangunan hanya sibuk berbicara tentang soal langsir, hiasan dalaman, warna cat dan sebagainya tetapi mengabaikan struktur asas bangunan tersebut. Tidak kira betapa besar dan indahnya bangunan itu sekalipun, sekiranya struktur asasnya lemah, ia pasti akan runtuh!


Di dalam Islam, membentuk asas yang kukuh adalah sesuatu yang utama. Asas-asas inilah disebut sebagai rukun atau tiang. Rukun-rukun inilah yang membina dan menguatkan iman dalam diri seseorang muslim.

Sekiranya rukun ini kuat, seseorang individu itu juga menjadi kuat. Individu yang kuat akan berusaha membentuk keluarga yang kuat. Keluarga yang kuat akan berusaha membentuk masyarakat yang kuat. Masyarakat yang kuat akan berusaha membentuk negara yang kuat.

Segalanya bermula dengan IMAN…

15 ulasan:

  1. Tuan panel Firdaus yang disegani,

    Saya mengenal seorang sahabat lelaki yang tidak bersolat. Jika ditanya, dia akan kata:
    "Aku selalu ragu-ragu dengan solatku. Soal kebersihan; lantai yang kupijak ini bersihkah? Baju yang kupakai ini cara cuciannya mengikut syarak kah?"
    Dia seorang yang agak berilmu dari sudut fiqih. Sebahagian dari hujah-hujah itu saya tahu adalah alasan semata. Saya rasa dia malas saja. :(
    Bagaimana saya harus berhujah dengan beliau?

    iva yunus

    BalasPadam
  2. -entri yg punyai ciri-ciri muhasabah diri-

    BalasPadam
  3. eh, TAQWA pun ada jugak (nyebok.hehehe)

    BalasPadam
  4. kak iva:

    bila dia ckp cmtu, saya wasa dia bknlah seowang yg awif ttg fiqh.. sbb Nabi SAW. x pnh wat cmtu, imam2 besaw dlm fiqh pn x pnh wat cmtu..

    saya wasa tu alasan je.. apa pn, Allah Maha Mengetahui. Allah tak wugi apa2. Yg akan menyesal adalah manusia.

    BalasPadam
  5. cik hanimah:

    owh, yeke?? x sangka.. hihi..

    BalasPadam
  6. Gie:

    yela.. yela.. wafa skali!!

    BalasPadam
  7. Tuan kucengg yang dimuliakan,
    kalau dia kata, tempat solat imam2 besaw itu bewsih, baju nabi itu bewsih tak macam dobi cuci..pendek kata ikut syarak...lalu saya nak kate ape?? :(...
    Dia teman baik. Saya tak boleh biaw die terumbang ambing dihempas banjir Nuh..(ehh?)

    BalasPadam
  8. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  9. ya!hanya readers sahaja yg akan sangka..penulis mungkin takkan sangka ~_~

    BalasPadam
  10. iva:

    btul la sy ckp.. Nabi solat d mana shj yg pd zahiwnya bewsih. malah dlm wiwayat mnyebutkn yg anjing biasa masuk dlm mesjid d zmn Nabi dan meweka x pnh siwam aiw sikit pn..

    begitu juga dgn pawa imam besaw xde pn nk cek smpai begitu skali.

    tu sbb sy kata dia bkn owang yg awif dlm fiqh. pewasan awif je..

    BalasPadam
  11. NuwAsh:

    Apeni.. main dilit2..
    tula.. hand is quickew than mind.. hahaha..

    BalasPadam
  12. hanimah:

    ooo... begitu wupenye... jgn pwasangka cukupla..

    BalasPadam
  13. bro Fiwdaus:tak elok kan kalau berwpwasangka..emm,begitulah...

    BalasPadam
  14. Tn.Firdaus, tuan kan tahu dilit mendilit mmg style sy..so, jgn byk komplen naaa....

    BalasPadam
  15. Asa syarikat pinjaman pinjaman bersedia untuk meminjamkan mana-mana jumlah yang anda perlukan untuk memulakan perniagaan peribadi anda. kami memberi pinjaman pada kadar faedah 3%, juga jika anda ingin membeli rumah di atas ansuran bulanan kita juga boleh menjual rumah untuk anda. supaya Sila memohon pinjaman pertanian pertanian. jika anda memerlukan hubungan pinjaman e-mel kami: asaloantransfer@gmail.com, anda juga boleh menghubungi e-mel ini: finance_institute2015@outlook.com, Mungkin ada banyak sebab mengapa anda perlu akses kepada beberapa wang tunai tambahan - daripada yang tidak dijangka pembaikan kereta atau rumah untuk membayar perkahwinan anda atau cuti khas. Tetapi apa sahaja yang anda memerlukannya, apabila anda meminjam antara $ 5,000 USD untuk 100,000 USD di atas.

    pengkhususan Syarikat.
    1) Kami memberi pinjaman pada kadar faedah 3%.
    2) Kami juga boleh membeli sebuah rumah pilihan anda dalam mana-mana lokasi pilihan anda.

    BalasPadam