CAT-tegories:

Selasa, 1 Februari 2011

Sabtu, 22 Januari 2011

kahwin dengan aisyah: Nabi Muhammad pedophile?




Soalan:


salam bro fir,boleh x saudara menulis article tentang hujah utk mnjwb kembali pertanyaan non muslim ttg perkahwinan rasulullah dgn aishah pada umur 9 thun? trima kasih. -lina


Jawapan:



Soalan ini adalah soalan yang kerap ditanya oleh golongan bukan Islam yang tahu serba sedikit tentang Islam dan juga dari kalangan missionaries.

Terdapat juga di kalangan umat Islam yang berpandangan bahawa umur Aisyah bukanlah 6 atau 9 tahun ketika berkahwin dengan Nabi SAW. Namun, saya lebih cenderung kepada pandangan bahawa umur sebenar Aisyah ketika berkahwin dengan Rasulullah SAW adalah 6 tahun dan mula bersama dengan baginda pada usia 9 tahun berdasarkan banyak riwayat. Antaranya:

“Aisyah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW.
mengahwininya ketika dia
berusia 6 tahun
dan tinggal bersamanya ketika
usia 9 tahun
dan baginda meninggal ketika usianya 18 tahun.”
[Sahih Muslim, no. 1422]

Qatadah berkata:
“Rasulullah SAW. berkahwin dengan
Aishah binti Abu Bakr as-Siddiq ra. ketika beliau
berusia 6 tahun
dan baginda tidak berkahwin dengan mana-mana anak dara
selain daripadanya (Aishah ra.).
Mereka berkata bahawa Jibrail berkata (kepada Nabi SAW.):
“Ini adalah isteri kamu”
sebelum baginda mengahwininya,
maka baginda berkahwin dengannya di Mekah,
sebelum hijrah dan selepas kematian Khadijah ra.
Kemudian baginda melengkapkan perkahwinan
dengannya di Madinah ketika beliau
berusia 9 tahun
dan beliau berusia 18 tahun ketika baginda meninggal dunia.”
[Al-Mu’jam Al-Kabir, no. 40]

Abu Malikah berkata:
“Rasulullah SAW . meminta Abu Bakr ra.
untuk berkahwin dengan Aisyah ra.
dan Abu Bakr pada ketika itu telah memberikan janji
kepada Jubair ibn Mut’am (untuk mengahwinkannya dengan Aisyah).
Kemudian beliau (Abu Bakr) menarik balik janjinya itu
dan mengahwinkannya dengan Rasulullah SAW.
Beliau (Aisyah) pada ketika itu
berusia 6 tahun
dan baginda menunggu selama 3 tahun
dan kemudian melengkapkan perkahwinan dengannya
ketika usianya 9 tahun.”
[Al-Mu’jam Al-Kabir, no. 62]


Kaca mata



Jika diteliti, isu ini hanya menjadi hangat sekitar akhir-akhir ini sahaja. Sedangkan, secara logiknya, isu ini sepatutnya dijadikan “bahan kempen” untuk menyerang peribadi Rasulullah SAW dan agama Islam sejak dahulu lagi. Namun, kita tidak menemui sebarang riwayat yang menunjukkan samaada masyarakat arab di zaman Nabi SAW serta generasi-generasi berikutnya dari bangsa lain yang menjadikan perkara ini sebagai isu untuk menolak Islam.

Jelas sekali, pada kaca mata zaman dahulu, amalan ini diterima!

Malah, jika kita lihat, generasi nenek-moyang kita dahulu pun berkahwin pada usia muda, iaitu sekitar 12 hingga 15 tahun!

Maka, adalah tidak adil untuk kita mengadili perkara ini dengan melihat dari kaca mata zaman ini semata-mata.


Umur minima untuk berkahwin



Pada hari ini, kebanyakan negara menetapkan usia minima untuk membolehkan seseorang itu berkahwin.

Namun, usia ini juga berbeza-beza di antara sebuah negara dengan negara lain. Ada yang 18 tahun, ada yang 21 tahun, ada yang 16 tahun dan seterusnya. Malah di Amerika sendiri, sebuah negeri berbeza dengan negeri lain. Di Massachusetts sebagai contoh, dengan keizinan ibu bapa dan mahkamah, seorang lelaki boleh berkahwin di usia seawal 14 tahun, manakala seorang perempuan seawal usia 12 tahun. (sila rujuk sini). Ini bermakna istilah “bawah umur” di sesebuah negara berbeza dengan negara lain.

Menurut Islam, tiada umur minima tertentu ditetapkan. Islam membenarkan tubuh badan seseorang menentukan bila dia bersedia, iaitu apabila seseorang itu akil baligh. Ia adalah peringkat umur di mana tubuh badan seorang kanak-kanak bertukar menjadi tubuh badan dewasa dan telah mampu untuk melakukan reproduksi.

Hal ini juga berbeza dari seorang individu dengan individu lain. Ada yang akil baligh awal dan ada yang akil baligh lewat. Ia bergantung kepada faktor genetik, persekitaran dan pemakanan. (sila rujuk sini)

Maka usia 9 tahun bukanlah usia yang mustahil untuk seseorang perempuan mencapai akil baligh.

Imam asy-Syafi’e ra. menyebutkan:

“Aku melihat di Yaman banyak sekali perempuan
yang datang haid pada
usia 9 tahun.”

[Siyar A'lam Nubala 10/91]

Beliau berkata lagi:

“Aku telah melihat di Bandar Sana’a (sebuah Bandar di Yaman)
seorang nenek berusia 21 tahun.
Dia telah datang haid pada
umur 9 tahun
dan melahirkan anak pada
umur 10 tahun.”

[Sunan Al-Bayhaqi Al-Kubra, 1/319 ]

Ibnu al-Jawzi telah meriwayatkan kisah yang sama daripada Ibnu ‘Uqail dan Abbad ibnu Abbad al-Muhlabi.

Abbad ibnu Abbad al-Muhlabi berkata:
“Aku telah menyaksikan seorang perempuan dari Muhlabah
yang menjadi nenek pada usia 18 tahun.
Dia melahirkan (anaknya) pada
usia 9 tahun

dan anaknya melahirkan anak pada
usia 9 tahun,

maka dia menjadi nenek pada usia 18 tahun.”
[Tahqeeq Fi Ahadeeth Al-Khilaf, 2/267]

Dalam kes Aisyah ra., Rasulullah SAW menunjukkan peringkat usia minima seseorang perempuan itu boleh didatangi, iaitu setelah mencapai akil baligh.


Kematangan



Timbul juga isu berkaitan dengan kematangan Aisyah ra. untuk berkahwin ketika itu. Sekali lagi, isu ini juga tidak boleh dilihat dengan kaca mata sekarang.

Suatu masa dahulu, seorang sahabat Rasulullah SAW. bernama Usamah bin Zayd ra. telah menyertai peperangan Khandaq pada usia 15 tahun. Beliau telah dilantik menjadi general untuk mengepalai tentera Islam menentang empayar Byzantine yang dianggap “giant” pada ketika itu di usia 18 tahun. Pada hari ini, kita tidak dapat bayangkan bagaimana sekiranya seorang budak berusia 18 tahun menjadi ketua turus angkatan tentera negara kita, apatah lagi untuk mengepalai tentera menentang “giants” pada hari ini seperti Amerika dan sekutunya.

Imam asy-Syafie telah menjadi pakar rujuk fiqh seawal usia 15 tahun. Pada hari ini, seorang mufti yang dilantik pada usia 35 tahun masih dianggap terlalu muda. Ibnu Sina menjadi doktor terkenal pada usia 18 tahun. Pada hari ini, seorang mahasiswa berusia 20an masih lagi menonton kartun, bermain dengan teddy bear, obses dengan sponge bob dan wonderpets!

Jelas sekali, kita tidak boleh membandingkan kematangan di zaman ini dengan kematangan mereka yang hidup di zaman dahulu. Mereka matang jauh lebih awal daripada kita.


Sekiranya Rasulullah SAW. seorang pedophile...


Sekiranya Rasulullah SAW. merupakan seorang pedophile, maka Aisyah ra. adalah mangsa penderaan seksual kanak-kanak. Sekiranya ini benar, maka sudah pasti Aisyah ra. mengalami kesan trauma dan kemurungan yang dahsyat sepertimana yang dialami oleh kanak-kanak lain yang menjadi mangsa yang sama.

Namun, ini tidak berlaku kepada Aisyah ra. Kita dapati kehidupan Aisyah ra. adalah normal seperti wanita lain. Dalam sebahagian riwayat, beliau selalu bermesra dengan Rasulullah, bergurau senda, bermain lumba lari dan sebagainya.

Selain itu, kita juga dapati Aisyah ra. menjadi tokoh wanita yang hebat. Beliau adalah seorang yang pintar dan cerdik. Beliau adalah merupakan salah seorang yang paling banyak meriwayatkan hadis, pakar dalam ilmu fiqh dan guru kepada ramai tokoh Islam yang lain.

Ini adalah sesuatu yang mustahil berlaku sekiranya Aisyah adalah mangsa kepada seorang pedophile. Sebagai seorang yang pintar, adalah mustahil untuk dia tidak menyedari bahawa seorang "pedophile" telah mengambil kesempatan ke atas dirinya semasa berada di alam kanak-kanak. Walaupun beliau hidup selama 39 tahun selepas kewafatan Rasulullah SAW, beliau tetap setia terhadap suaminya, menanti untuk disatukan semula di syurga. Beliau tetap teguh menyebarkan sunnah dan meneruskan perjuangan baginda. Malah, terdapat riwayat-riwayat yang menunjukkan bahawa Aisyah terkenang-kenang akan layanan Rasulullah SAW terhadap beliau.

Wallahu a’alam.

Rabu, 24 November 2010

korban ibrahim dan korban jesus


Soalan:


Kalau orang Islam tiada masalah untuk menerima kisah Nabi Ibrahim diperintahkan oleh Tuhan untuk mengorbankan anaknya, kenapa orang Islam tak boleh menerima kisah Tuhan mengorbankan anaknya Jesus?


Jawapan:



Kedua-dua al-Quran dan Bible menyebutkan tentang kisah Nabi Ibrahim (Abraham) a.s. diperintahkan untuk mengorbankan anaknya. Bezanya, dalam agama Kristian dipercayai bahawa anak yang diperintahkan untuk dikorbankan itu adalah Ishak a.s. (Isaac), manakala dalam al-Quran disebutkan bahawa yang diperintahkan untuk dikorbankan adalah Ismail a.s. (Ishmael).

Menurut agama Kristian, Jesus adalah anak Tuhan yang dikorbankan di atas salib bagi menebus dosa seluruh umat manusia. Namun, dalam Islam, Jesus diselamatkan oleh Allah daripada disalib tetapi digantikan dengan orang yang menyerupainya.

Bagi tujuan perbincangan ini, kita ketepikan isu siapakah sebenarnya yang dikorbankan oleh Nabi Ibrahim. Isu utama di sini adalah adakah perbandingan korban Ibrahim dan korban Jesus ini logik atau tidak.


1. Kerelaan


Ibrahim:


Dalam Bible disebutkan bahawa Nabi Ibrahim dengan rela hati mengorbankan anaknya.

When they reached the place God had told him about, Abraham built an altar there and arranged the wood on it. He bound his son Isaac and laid him on the altar, on top of the wood. Then he reached out his hand and took the knife to slay his son.
[Genesis 22:9-10]

Begitu juga dengan al-Quran:

Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia)
berusaha bersama-sama dengannya,
Nabi Ibrahim berkata:
"Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi
bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?".
Anaknya menjawab:
"Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu;
Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".

[as-Saffaat 37:102]

Jesus:

Menurut Bible, Jesus tidak rela dikorbankan!

“Father, if you are willing, take this cup from me; yet not my will, but yours be done.”
An angel from heaven appeared to him and strengthened him.
And being in anguish, he prayed more earnestly,
and his sweat was like drops of blood falling to the ground.

[Luke 22:42-44]

Malah, disebutkan semasa di atas salib, Jesus berteriak:

“Eli, Eli, lemasabachthani?”
(which means “My God, my God, why have you forsaken me?”)
[Matthew 27:46]


2. Hero



Ibrahim:

Dalam kes Ibrahim, baginda yang cuba mengorbankan anaknya dianggap sebagai hero.

The angel of the LORD called to Abraham from heaven a second time
and said,
“I swear by myself, declares the LORD,
that because you have done this and have not withheld your son, your only son,

I will surely bless you and make your descendants as numerous as the stars in the sky and as the sand on the seashore. Your descendants will take possession of the cities of their enemies,
and through your offspringall nations on earth will be blessed, because you have obeyed me.”
[Genesis 22:15-18]

Jesus:

Dalam kes Jesus, mereka yang bertanggungjawab mengorbankan Jesus tidak dianggap sebagai hero!

Salah seorang pengikut Jesus yang menyebabkan Jesus ditangkap oleh tentera Rom, iaitu Judas Iscariot dianggap sebagai pengkhianat!

Simon the Zealot
and
Judas Iscariot,
who betrayed him.
[Matthew 10:4]

Begitu juga dengan pendeta-pendeta yahudi yang mengakibatkan penyaliban Jesus. Mereka tidak dianggap sebagai hero!


3. Adakah mereka mati dikorbankan?


Ibrahim:

Menurut kedua-dua Bible dan al-Quran, anak Ibrahim a.s. tidak mati dikorbankan. Beliau diselamatkan oleh Tuhan dan digantikan dengan seekor haiwan ternakan.

Then he reached out his hand and took the knife to slay his son.
But the angel of the LORD called out to him from heaven, “Abraham! Abraham!”
“Here I am,” he replied.
“Do not lay a hand on the boy,” he said.
“Do not do anything to him. Now I know that you fear God,
because you have not withheld from me your son, your only son.”
Abraham looked up and there in a thicket he saw a ram caught by its horns.
He went over and took the ram and sacrificed it as a burnt offering instead of his son.
[Genesis 22:10-13]

Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu),
dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya
di atas tompok tanah,
(Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu
telah menjalankan perintah Kami),
Serta Kami menyerunya:
"Wahai Ibrahim!
"Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu".
Demikianlah sebenarnya Kami membalas
orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata;
Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;

[as-Saffaat 37:103-107]

Jesus:

Adakah Jesus mati disalib? Jawapan orang Kristian, “Ya!”


4. Perbandingan


Jelas sekali kedua-dua kisah ini tidak boleh dijadikan perbandingan.


5. Soalan kepada orang-orang Kristian


Sekiranya kedua-dua kisah ini ingin dijadikan perbandingan, berikut adalah soalan kepada orang-orang Kristian…

Jika orang-orang Kristian tiada masalah untuk menerima bahawa anak Ibrahim diselamatkan oleh Tuhan dan digantikan dengan korban lain, kenapa orang-orang Kristian ada masalah untuk menerima Jesus diselamatkan oleh Tuhan daripada disalib dan digantikan dengan orang lain??


Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan:
"Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah".
Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak menyalibnya,
tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa).
Dan Sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham,
mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu)
tentang menentukan (pembunuhannya).
Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain
daripada mengikut sangkaan semata-mata;
dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin.
[an-Nisaa’ 4:157]


Ahad, 14 November 2010

Makan, termakan dan cari makan


Entri saya yang paling mendapat hits dalam blog ini adalah entri yang bertajuk “ATTENTION!!!! senarai non-halal foods...Tlg fwd laju2 to our muslim friends!!". Dalam entri tersebut, saya ‘membedah’ sebuah email yang disebarkan secara meluas berkenaan produk-produk yang dikatakan mengandungi bahan-bahan haram. Sila rujuk di sini untuk membaca respons saya terhadap email tersebut.

Hits yang tinggi ini jelas menunjukkan bahawa kesedaran masyarakat kita dalam memastikan makanan yang diambil oleh mereka tidak mengandungi bahan yang haram adalah amat tinggi sekali. Rata-rata mereka sangat teliti dan sensitif dalam urusan makanan. Mereka bukan sahaja tidak mahu makan makanan haram, malah mereka juga takut termakan makanan haram.

Makan vs cari makan


Saya teringat ketika sedang menikmati hidangan makanan tengahari bersama Sheikh Dr. Abdul Karim Turey, seorang pakar tafsir al-Quran dari Ivory Coast beberapa tahun lepas, beliau berkata, “Saya hairan melihat ramai orang sibuk meneliti atau mencari-cari samaada makanan yang mereka makan mengandungi bahan yang haram atau tidak… tetapi mereka seperti tidak kisah dari mana sumber makanan (harta) mereka… seperti adakah daripada rasuah, riba’ dan sebagainya.”




Apa yang dimaksudkan oleh Syeikh Dr. Abdul Karim itu bukanlah bermakna kita tidak perlu menjauhi makanan yang haram. Hukumnya adalah jelas dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Namun yang dimaksudkan adalah umat Islam sering terlepas pandang perkara yang jauh lebih besar dan lebih utama, iaitu sumber makanan (harta) itu sendiri! Sedangkan, jika diteliti, dalil-dalil tentangnya adalah lebih berat dan disertai dengan celaan bagi mereka yang melanggarnya.

Sebagai contoh, dalam isu makanan, ramai orang sangat sensitif sehingga sering kali melampau daripada yang sepatutnya. Tetapi dalam masa sama, mereka seperti tidak kisah bersekongkol dengan riba’, samaada melalui pelaburan, pinjaman, penggunaan kad kredit dan sebagainya. Sedangkan riba’ termasuk dalam kategori DOSA BESAR!

Dalam al-Quran disebutkan bahawa Allah dan RasulNya telah mengisytiharkan perang terhadap mereka yang tidak meninggalkan riba’.

Firman Allah:

“Maka sekiranya kamu tidak berbuat demikian (meninggalkan riba’)
maka ketahuilah akan adanya peperangan daripada Allah dan RasulNya.
Dan jika kamu bertaubat , maka bagi kamu (yang sebenarnya) adalah pokok harta kamu
yang asal. (Dengan itu) kamu tidak menzalimi dan tidak pula dizalimi.”
[al-Baqarah 2:279]


Satu lagi contoh adalah menipu dalam mencari harta.


Rasulullah SAW pernah berjalan melintasi (sebuah kedai) makanan.
Maka baginda memasukkan tangannya ke dalam makanan tersebut,
ternyata jari-jarinya terasa sesuatu yang basah (makanan itu sudah rosak).
Maka baginda bertanya,
“Apakah ini wahai pemilik makanan?”
Dia menjawab,
“Ia telah basah kerana terkena air hujan ya Rasulullah!”
Rasulullah membalas,
“Mengapa kamu tidak meletaknya di bahagian atas makanan
supaya boleh dilihat oleh orang ramai
(dan mengetahui bahawa ia telah rosak)?

Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari golonganku.”
[Sahih Muslim, 102]

Bersandarkan hadis ini, sebahagian ulama’ menghukumkan bahawa mereka yang menghalalkan penipuan dalam mencari harta adalah kafir! Begitulah beratnya persoalan ‘cari makan’ ini menurut Islam.

Di dalam al-Quran, Allah mencela mereka yang menipu dalam timbangan:

“Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang,
(yaitu) orang-orang yang apabila menerima takaran
dari orang lain mereka minta dipenuhi,dan apabila mereka menakar atau menimbang
untuk orang lain, mereka mengurangi.”
[al-Muthaffifin 83:1-3]

Mungkin ramai yang menyangka bahawa menipu ini hanya berlaku bagi mereka yang terlibat dalam perniagaan semata-mata. Ini tidak benar. Penipuan ini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk.

Sebagai contoh, orang yang dibayar oleh majikan mereka untuk bekerja selama 8 jam sehari tetapi mereka ‘curi tulang’ dalam kerja mereka. Bukankah ini sama seperti ayat daripada surah al-Muthaffifin di atas? Apabila tiba masa mereka menerima gaji, mereka menuntut gaji mereka dibayar penuh, tetapi apabila bekerja, mereka bekerja kurang daripada yang sepatutnya.

Bagaimana pula halnya dengan orang yang menipu cuti sakit?

Bagaimana pula dengan mereka yang menipu ‘claim’?

Bagaimana pula dengan mereka yang menggunakan telefon pejabat untuk kegunaan peribadi?

Semua ini berlaku dengan cukup meluas dalam masyarakat kita. Namun mereka tidaklah begitu
sensitif terhadap isu ini jika dibandingkan dengan sensitifnya mereka terhadap isu berkaitan makanan.


Dalam perniagaan pula, sebahagian orang menjual barangan yang mempunyai kecacatan, namun kecacatan itu disembunyikan dan dijual pada harga biasa. Begitu juga dengan orang yang menjual barangan tiruan.

Terdapat juga kontraktor binaan yang menggunakan bahan-bahan tidak berkualiti bagi mendapatkan keuntungan yang lebih. Hasilnya, banyaklah bangunan yang rosak hanya setelah beberapa tahun didirikan.

Ini hanyalah sebahagian contoh penipuan yang sering berlaku dalam masyarakat kita. Namun, perkara ini sering terlepas pandang dan disangka remeh oleh kebanyakan orang. Mereka takut termakan sesuatu yang mengandungi daging babi, tetapi mereka seperti tidak merasa bersalah apabila curi tulang, menipu cuti sakit atau menipu dalam jual-beli.

Termakan…


Seperti yang disebutkan di atas,sensitiviti umat Islam dalam isu makanan halal ini amat tinggi sehingga sering kali melampaui apa yang sepatutnya. Mereka sering bertindak cuba memeriksa dengan mendalam. Mereka juga mengelak daripada membeli sesuatu produk makanan hanya kerana tersebarnya khabar angin yang mengatakan bahawa produk tersebut mengandungi bahan yang diharamkan. Bukan setakat itu, atas dasar sensitiviti umat Islam, mereka menyebarkan khabar berkenaan di merata tempat termasuk di blog, facebook, email, forum-forum internet dan sebagainya.

Beginilah sensitif dan telitinya mereka dalam perkara yang melibatkan makanan. Dengan kata lain, mereka bukan sekadar tidak mahu makan makanan haram, bahkan mereka juga takut termakan makanan haram.

Mari kita lihat bagaimana yang dicontohkan oleh Nabi SAW. berkaitan isu ini:

Daripada ‘Aisyah ra,
bahawa suatu kaum telah datang bertanya kepada Nabi SAW:

“Sesungguhnya suatu kaum telah memberikan kami daging.
Kami tidak mengetahui samaada telah
disebutkan nama Allah ke atasnya atau tidak!”

lalu baginda bersabda,

“Bacakanlah (nama Allah) ke atasnya (daging itu)
dan makanlah ia.”

[Sahih Bukhari, Kitab adz-Dzabaaih was-Soyd, 5507]

Hadis ini merujuk kepada suatu kaum yang baru memeluk Islam dan belum lagi mengetahui banyak tentang hukum-hakam agama. Itulah sebabnya para sahabat berasa ragu-ragu tentang daging tersebut, lalu bertanya akan hal tersebut kepada Rasulullah SAW. Jelas sekali baginda tidak menyuruh mereka pergi bertanya atau menyiasat perkara tersebut terlebih dahulu. Sebaliknya baginda bersabda, “Bacakanlah (nama Allah) ke atasnya (daging itu) dan makanlah ia.”

Berkenaan hadis ini, Sheikh Yusuf al-Qaradhawi menyebutkan:

“Dan tidaklah diwajibkan bagi seorang muslim untuk mempersoalkan sesuatu yang tidak kelihatan baginya: bagaimana cara penyembelihannya? Adakah ia melengkapi syaratnya (penyembelihan itu) atau tidak? Adakah disebutkan nama Allah ke atas sembelihan itu atau tidak? Bahkan kesemua yang tidak kita lihat daripada apa yang disembelih oleh seorang muslim – sekalipun (muslim yang menyembelih itu) seorang yang jahil atau fasiq – ataupun ahli kitab (yahudi dan kristian). Maka, memakannya (daging itu) adalah halal.


Dan sesungguhnya kami telah menyebutkan sebelum ini tentang hadis Bukhari : “..suatu kaum telah datang bertanya kepada Nabi SAW: “Sesungguhnya suatu kaum telah memberikan kami daging. Kami tidak mengetahui samaada telah disebutkan nama Allah ke atasnya atau tidak!” Lalu baginda bersabda, “Bacakanlah (nama Allah) ke atasnya (daging itu) dan makanlah ia.”


Maka berkata para ulama’ tentang hadis ini: “Ini adalah dalil bahawa sesuatu perbuatan dan urusan dinilai suci dan baik sehingga jelasnya bukti kerosakan dan keburukannya.”” [Syeikh Yusuf al-Qaradhawi dalam al-Halal wal Haram fil Islam, terbitan Maktabah Wahbah, Kaherah, cet. 24, tahun 2000, m/s: 60]

Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin pula berkata:

“Adapun apa yang dilakukan oleh orang lain selain anda, dari orang-orang yang perbuatannya dianggap sah, maka hendaklah diyakini sah, tidak boleh dipersoalkan. Sebab mempersoalkannya termasuk dalam sikap berlebihan (melampau). Kalau sekiranya kita mengharuskan diri kita untuk mempertanyakan tentang hal seperti itu, maka kita telah menyusahkan diri kita sendiri, kerana adanya kemungkinan setiap makanan yang diberikan kepada kita itu tidak mubah (tidak halal), padahal siapa saja yang mengajak anda untuk makan, maka boleh jadi makanan itu adalah hasil ghashab (mengambil tanpa diketahui pemiliknya) atau hasil curian, dan boleh jadi berasal dari wang yang haram, dan boleh jadi daging yang ada di makanan itu tidak disebutkan nama Allah (waktu disembelih). Maka termasuk dari rahmat Allah kepada hamba-hambaNya adalah bahawasanya suatu perbuatan, apabila datangnya dari ahlinya, maka jelas ia mengerjakannya secara sempurna hingga bersih dari dzimmah (beban) dan tidak perlu menimbulkan kesulitan bagi orang lain.” [Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin, Fatawa Nur ‘Alad Darbi]

Maka jelaslah di sini bahawa perkara ini adalah ringan dan mudah. Kita tidak dituntut untuk menyiasat dengan mendalam tentang sesuatu makanan. Cukuplah sekadar mengikut panduan pihak berkuasa serta berdasarkan apa yang dilihat pada zahir produk atau makanan tersebut, sesuai dengan kuasa dan kemampuan kita.

Ini dijelaskan lagi dengan dalil berikut:

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mughaffal ra.,
dia berkata,
“Saya menemui satu bekas makanan yang berisi
makanan berlemak pada perang Khaibar.
Lalu saya memegangnya erat-erat.
Saya berkata,
“Demi Allah, hari ini tidak ada seorang pun yang akan saya beri makanan ini.
Dan, ketika saya menoleh,
ternyata Rasulullah SAW berada di samping saya sambil tersenyum.”
[Riwayat Muslim, 3/1393]

Hadis di atas merujuk kepada situasi umat Islam berperang dengan ahli kitab Yahudi, yang mana umat Islam dibenarkan memakan sembelihan mereka. Walaupun tidak jelas tentang asal makanan itu, Rasulullah SAW. tidak melarang Abdullah bin Mughaffal ra. daripada memakan makanan itu. Baginda tidak menyuruh agar ia diperiksa terlebih dahulu, sebaliknya baginda hanya tersenyum dan itu menandakan halalnya perbuatan itu.

Dalam situasi hari ini, sepatutnya urusan ini adalah jauh lebih mudah. Kita mempunyai pihak berkuasa seperti JAKIM yang bertanggungjawab menyiasat dan menentukan status kehalalan sesuatu produk. Mereka juga sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.


Oleh demikian, seharusnya urusan ini tidak perlu dirisaukan lagi. Jika makanan itu mempunyai logo halal, maka ia boleh dimakan. Sekiranya tidak, maka makanlah apa-apa yang dihasilkan oleh umat Islam atau makanan yang pada zahirnya adalah halal seperti kopi, teh, susu, sayur-sayuran, buah-buahan, makanan laut dan sebagainya, tanpa perlu sibuk mencungkil apa yang tersembunyi.

Syubhah


Ramai orang beranggapan kita perlu memeriksa dengan teliti makanan yang hendak dimakan bagi mengelakkan syubhah.

Ini berdasarkan hadis yang terkenal berikut:

“Sesungguhnya yang halal itu telah NYATA,
dan haram juga telah NYATA,
dan di antara keduanya perkara-perkara yang masih diragukan,
yang kebanyakan orang ramai tiada mengetahui.
Orang-orang yang memelihara diri dari perkara-perkara yang syubhah itu
samalah seperti orang yang telah melindungi agamanya dan kehormatannya.
Orang yang tergelincir ke dalam perkara-perkara yang syubhah itu
akan tergelincir pula ke dalam perkara yang haram,
laksana seorang pengembala yang sedang menggembala di sekitar tempat larangan ,
akhirnya ia lalai memasuki tempat larangan itu.”
[Riwayat Bukhari dan Muslim]

Saya hormati pandangan mereka yang menggunakan hujah ini. Mereka bebas beramal dengan pegangan ini.

Apa yang pasti, terdapat pandangan lain di kalangan para ulama’.

"Musytabihat" atau "syubhah" atau "perkara-perkara yang meragukan" dalam hadis di atas bermaksud segala sesuatu yang belum diketahui dengan jelas dari segi hukumnya. Perkara ini adalah relatif kepada kemampuan seseorang individu. Itulah sebabnya dalam hadis di atas disebutkan "ramai orang tidak mengetahuinya."

Namun dalam hal ini, kita telah pun mengetahui hukumnya dengan jelas. Nyata sekali, ia bukanlah sesuatu yang ketat. Ini sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. sendiri, berdasarkan nas-nas yang disebutkan sebelum ini. Maka seharusnya inilah contoh yang patut kita ikuti.


“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu
pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik,

iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah

dan (balasan baik) hari akhirat,
serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak
(dalam masa susah dan senang)”
[Al-ahzab 33:21]

“Katakanlah (wahai Muhammad):
"Jika benar kamu mengasihi Allah maka
ikutilah daku,
nescaya Allah mengasihi kamu
serta mengampunkan dosa-dosa kamu.
Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
[Ali Imran 3:31]

Tiada contoh yang lebih baik daripada contoh yang diberikan oleh Rasulullah SAW sendiri. Baginda telah menunjukkan dengan jelas tentang perkara ini. Ia adalah ringan dan mudah, sesuai dengan fitrah Islam itu yang sememangnya mudah. Maka inilah jalan yang seharusnya kita ikuti.

Kita juga seharusnya menjauhi sikap ‘ghuluw’ (melampau) dalam agama.

“Wahai Ahli kitab!
Janganlah kamu melampau
dalam perkara ugama kamu..”
[An-nisa’ 4:171]

“dan janganlah kamu melampau;
sesungguhnya Allah tidak suka
kepada orang-orang yang melampau.”
[al-An’aam 6:141]

Kesimpulan

Dalam isu ‘makan’ ini, Rasulullah SAW. telah menunjukkan kemudahan dan keringanan. Kita tidak dituntut untuk memeriksa dengan mendalam tentang sesuatu makanan. Cukuplah sekadar apa yang termampu. Kita juga tidak dipertanggungjawabkan sekiranya kita ‘termakan’ makanan yang bercampur dengan bahan yang haram tanpa kita ketahui.

Apa jua pegangan kita dalam hal ini, kita sepakati bahawa isu ‘cari makan’ adalah isu yang lebih besar. Kita perlu lebih teliti, sensitif dan berhati-hati dalam hal ini. Perbuatan-perbuatan yang boleh menggelincirkan kita kepada dosa besar ini mesti dihentikan. Ini termasuklah curi tulang, menipu cuti sakit, menipu ‘claim’, menjual barangan yang telah rosak, menjual barangan tiruan, menipu spesifikasi produk, menerima atau memberi rasuah dan sebagainya.

Perbuatan-perbuatan ini bukan sahaja dicela oleh agama, malah boleh mendatangkan impak negatif terhadap imej Islam, pembangunan negara dan masyarakat serta efisyensi sesebuah perusahaan.

Wallahu a'lam.

Ahad, 3 Oktober 2010

rest in peace..


A new businees was opening and one of the owner's friends wanted to send flowers for the occasion. They arrived at the new business site and the owner read the card; it said "Rest in Peace."

The owner was angry and called the florist to complain.

After he had told the florist of the obvious mistake and how angry he was, the florist said. "Sir, I'm really sorry for the mistake, but rather than getting angry you should imagine this: somewhere there is a funeral taking place today, and they have flowers with a note saying, "Congratulations on your new location."


Sabtu, 18 September 2010

Kenapa bila masuk Islam, dah tak boleh keluar lagi??!!


Soalan:


Kenapa, bila seseorang itu masuk Islam, dia dah tak boleh keluar lagi?



Jawapan:


Apabila soalan ini ditanya, kita perlu juga lihat konteks soalan ini. cth: mengapa soalan ini ditanya, apa isu yg berkaitan dgn soalan ini.

Adakalanya soalan ini ditanya disebabkan isu hukuman hudud. kadang2 disebabkan isu lina joy. dan bbrp isu lain... Setiap isu ini mempunyai cara penjelasan yg agak berbeza.

Tetapi secara umum, kita boleh gunakan penjelasan berikut:


1. Tiada paksaan dalam agama.


Dalam Islam, kita tak boleh paksa sesiapa untuk memeluk Islam. Tanggungjawab kita adalah hanya menjelaskan kebenaran kepada golongan bukan Islam. Setelah kebenaran dijelaskan, keputusan adalah terletak kepada non-muslim tersebut samaada hendak memeluk Islam atau tidak. Kita tak boleh sama sekali memaksa org itu memeluk Islam.

Firman Allah: "Tiada paksaan dalam agama; sesungguhnya telah jelas (berbeza) kebenaran daripada kesesatan.." (al-baqarah 2:256)


2. Kontrak


Kalau kita ambil contoh, seseorang yg hendak menganggotai tentera perlu menandatangani kontrak. Dia tidak dipaksa untuk menjadi anggota tentera. Dia tidak dipaksa menandatangani kontrak tersebut. Tetapi setelah menandatangani kontrak tersebut, dia tak boleh lagi keluar daripada menjadi seorang tentera.

Seorang muslim juga begitu. Dia tidak dipaksa untuk memeluk Islam. Dia tidak dipaksa untuk melafazkan 2 kalimah syahadah. Tetapi setelah melafazkan syahadah dengan rela hati setelah menyaksikan kebenaran Islam, dia telah berkontrak utk tidak akan keluar dari Islam.

Setakat ini dahulu.

WaLLahu a'alam.

Rabu, 15 September 2010

jom bakar Quran


[klik untuk besarkan]


Khamis, 22 Julai 2010

Sabtu, 10 Julai 2010

menilik pemenang wowld cup


Akhir2 ini dunia dgemparkan dgn seekor sotong psikik yg bernama "Paul" yang mampu menilik pemenang perlawanan2 dalam world cup. Dikatakan semua 6 ramalan yg dbuat si sotong ini tepat. Dlm berita TV smlm, sekor burung pula menjadi tumpuan atas perkara yg sama, iaitu meramal pemenang perlawanan world cup. Mungkin selepas ini ada plak hamster, kura2, tikus dan sebagainya juga mengambil profesyen sbg tukang tilik.

Saya tidak mahu mengulas pjg ttg isu ini. Cuma saya ingin berkongsi bbrp hadis dan serba-sedikit huraian dlm isu2 seumpama ini.

Hadis 1:

Wahai Rasulullah! Sesungguhnya tukang tilik itu lazimnya
mengkhabarkan kami dengan sesuatu,
kemudian kami dapati ia adalah benar!”
Rasulullah menjawab:
“Ia adalah kalimah (perkara) yang benar yang diambil
oleh seorang jin lalu dibisikkan kepada telinga
pengikutnya, kemudian dibuat tambahan padanya
dengan seratus kedustaan.”
[Sahih Muslim, 2228]

hadis 2:

"Sesiapa yang mengunjungi tukang tilik dan bertanya
kepadanya sesuatu maka
tidak akan diterima solatnya
selama empat puluh malam."
[Sahih Muslim, 2230]

Yang dimaksudkan dengan hadis ini adalah dia tidak mendapat pahala solatnya selama 40 malam. Namun, dia tidaklah terlepas daripada kewajipan solat itu. Dia tetap wajib menunaikan solatnya.

hadis 3:

“Wahai Rasulullah! Ada perkara yang kami
lakukan semasa zaman Jahiliyyah (seperti)
mengunjungi tukang-tukang tilik.”
Rasulullah menjawab:
"Jangan mengunjungi tukang-tukang tilik!”
[Sahih Muslim]

hadis 4:

"Sesiapa yang mengunjungi tukang-tukang tilik
lalu membenarkannya
atau menyetubuhi isterinya yangsedang haid
atau menyetubuhi isterinya dari duburnya,
maka dia telah lepas (keluar) daripada
apa yang diturunkan ke atas Muhammad (yakni Islam)."
[Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 3904
(Kitab al-Tibb, Bab berkenaan penilik nasib).]


Huraian ringkas:


Ramai yang tidak memandang isu menilik masa hadapan ini sebagai sesuatu yang serius. Sedangkan isu ini adalah isu akidah. Sudah tentulah ia lebih berat daripada isu hukum-hakam fiqh. Itulah sebabnya ia biasanya dibincangkan dalam kitab2 yg membahaskan ttg tauhid atau kitab2 yg menghuraikan ttg amalan2 syirik.

Itulah sebabnya hukum berkaitan perkara ini sgt ketat. Sehinggakan RasuluLLah SAW melarang kita drp mengunjungi tukang2 tilik, sekalipun kita tidak mempercayainya. Ini kerana, dalam Islam, kita bukan setakat dilarang untuk melakukan dosa2 besar. Malah, kita disuruh untuk menjauhinya.

"Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar
di antara dosa-dosa yang kamu dilarang mengerjakannya,
nescaya Kami hapuskan kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil)
dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga)."
[An-nisaa' 4:31]

Dosa yang paling besar dalam Islam adalah syirik. Dalam al-Quran disebutkan bahawa sekalipun seseorang itu tidak bertaubat, Allah boleh mengampunkan segala dosanya, kecuali syirik.

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan
dosa orang yang menyengutukanNya dengan sesuatu (melakukan syirik),
dan Dia mengampunkan dosa-dosa selain itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya.
Barangsiapa yang menyengutukan Allah dengan sesuatu,
maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar"
[an-Nisa' 4:48]

Seangkatan dengan mengunjungi tukang2 tilik, kita juga dilarang mengunjungi bomoh, dukun, membaca horoscopes, feng shui dan lain-lain seumpamanya, sekalipun kita tidak mempercayainya.

Ini dikhuatiri syaitan akan membisikkan bisikan-bisikannya setelah itu agar kita akhirnya mula mempercayainya. Ramalan yang tidak benar mungkin boleh dilihat benar. Namun, sekalipun ia benar, seperti yang dijelaskan oleh hadis 1 di atas, ia ditambah dengan seratus kedustaan.

Kita mungkin ghairah ingin mengetahui siapakah yang bakal menjuarai world cup. Tapi jangan sampai kita memberi kejuaraan kepada SYAITAN!

Jom hati2!!

"Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib,
maka Dia tidak memberitahu perkara
ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun;
melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya
(untuk mengetahui sebahagian dari perkara
ghaib yang berkaitan dengan tugasnya)."
[al-Jin 72:26-27]