CAT-tegories:

Sabtu, 23 Jun 2012

cawa malas untuk kaya





Albert Einstein pernah ditanya tentang apakah penemuan terhebat manusia. Beliau menjawab, "compound interest". Malah beliau mengungkapkan bahawa "compound interest" sebagai keajaiban kelapan dunia!


Apa yang dimaksudkan dengan "compound interest" adalah apabila faedah yang didapati ditambah kepada wang pokok agar ia juga akan menerima faedah. Dengan kata lain, ia adalah faedah atas faedah atas faedah dan seterusnya. Sebagai contoh, anda mempunyai wang sebanyak RM10,000. Anda simpan wang anda dalam sebuah akaun yang memberikan faedah sebanyak 6% setahun. Maka di akhir tahun, jumlah wang anda adalah RM10,600. Pada tahun kedua, jumlahnya menjadi RM11,236. Jika ini dibiarkan berterusan sehingga 12 tahun, wang anda akan menjadi dua kali ganda!


Jika seseorang mewariskan hanya 1 sen dalam sebuah akaun yang memberikan faedah sebanyak 6% setahun kira-kira 500 tahun dahulu, jumlah wang yang terkumpul pada hari ini adalah RM44,971,009,060.36!


Inilah keajaiban yang dimaksudkan oleh Albert Einstein.




Bagaimana formula ini boleh membantu kita?




Sebenarnya terdapat pelbagai cara untuk menggunakan formula ini.


Contoh paling mudah adalah seorang remaja berusia 15 tahun menyimpan RM4000 setahun atau kira-kira RM333 sebulan dalam akaun Tabung Haji yang memberikan keuntungan minima 6% setahun. Sekiranya remaja itu terus-menerus menyimpan dan mengkompaun keuntungannya selama 47 tahun, remaja itu insha Allah akan menjadi jutawan pada usia 62 tahun dengan cara yang paling malas!




Laburlah dalam ilmu..




47 tahun mungkin terlalu lama untuk seseorang menjadi jutawan. Namun, setidak-tidaknya, seseorang remaja itu pasti akan menjadi jutawan. Apa yang menjadi isu adalah samaada lambat atau cepat.


Itulah sebabnya pelaburan yang paling penting adalah pelaburan dalam ilmu. Dengan ilmu, seseorang itu mampu meningkatkan pulangan pelaburannya, lebih daripada hanya 6% setahun.


'Value investors' sebagai contoh, mensasarkan untuk menggandakan wang mereka selewat-lewatnya dalam tempoh 5 tahun, atau pada kadar keuntungan tahunan purata sekurang-kurangnya 15% setahun. Sekiranya seseorang memiliki RM10,000 dan berjaya menggandakan wang mereka setiap 5 tahun, beliau akan menjadi jutawan dalam tempoh 35 tahun. 


Apa yang mereka perlu lakukan adalah membeli saham syarikat yang berkualiti yang ditawarkan pada harga yang rendah. Pastinya, ini memerlukan ilmu dan kemahiran yang tinggi.


Sebagai contoh, ketika Malaysia dilanda krisis kewangan pada tahun 1997/98, kesemua syarikat di Bursa Malaysia mengalami kejatuhan yang dahsyat. Ini termasuk syarikat berkualiti tinggi dalam sektor yang defensif seperti pengeluar makanan, rokok dan sebagainya yang kurang terjejas dengan kegawatan ekonomi. Sebagai contoh, syarikat pengeluar susu Dutch Lady. Secara umumnya, orang tidak berhenti minum susu di kala kegawatan ekonomi. Dalam masa sama, ia juga berpotensi meningkatkan lagi pendapatannya dari tahun ke tahun disebabkan permintaan yang dijangka akan terus meningkat. Namun, disebabkan sentimen pasaran yang teruk, nilai sahamnya jatuh di bawah RM1. Ini bermakna syarikat ini ditawarkan pada harga diskaun!

Malangnya pada ketika itu ramai orang berada dalam keadaan panik dan menjauhi pasaran saham. Inilah yang disebutkan oleh pelabur terkemuka dunia, Warren Buffett, "When the crowd is fearful, you must be greedy; when the crowd is greedy, you must be fearful." Itulah sebabnya kita perlu melabur dalam ilmu terlebih dahulu.


Jika seseorang melaburkan sebanyak RM10,000 dalam syarikat Dutch Lady pada tahun 1998, pada harga RM1 sesaham, hari ini nilai pelaburannya adalah RM360,000! Ini bermaksud kadar keuntungan beliau adalah sebanyak 3600% dalam tempoh 14 tahun, atau kadar keuntungan purata tahunan sebanyak kira-kira 22% setahun. Dengan RM360,000 ini beliau hanya perlu menggandakan sebanyak 300% bagi menjadi jutawan.


Bagi seorang pelabur profesional, 300% bukanlah sesuatu yang sukar, terutama bagi pelaburan bermodal kecil.


Sekiranya kadar keuntungan puratanya itu dijangkakan berterusan sebanyak 22% setahun, cara paling mudah adalah dengan membiarkan pegangan sahamnya itu selama 6 tahun untuk beliau menjadi jutawan. 


Ini dicapai dengan hanya bergoyang kaki selama 20 tahun!


Ini belum termasuk dividen yang diterima sepanjang tempoh tersebut. Syarikat-syarikat sebegini biasanya mempunyai nilai dividen yang sentiasa meningkat dari tahun ke tahun. Nilai dividen terkini bagi Dutch Lady adalah sebanyak 65 sen per saham. Ini bermakna pelaburan pada RM1 sesaham pada tahun 1998 kini menghasilkan dividen sebanyak 65% daripada modal pelaburan asal! Dengan pelaburan sebanyak RM10,000, pelabur akan mendapat pendapatan pasif sebanyak RM6500 setahun atau purata RM540 sebulan dengan hanya bergoyang kaki!


Ini juga belum termasuk jika anda laburkan semula dividen yang anda terima itu di syarikat-syarikat berkualiti lain! 




Lebih agresif..




Terdapat juga cara yang lebih agresif, iaitu dengan melabur dalam syarikat-syarikat yang berpotensi mencatatkan peningkatan pendapatan pada musim-musim tertentu. Sebagai contoh, pada tahun 2009, ketika nilai pasaran kebanyakan syarikat di Bursa Malaysia adalah lebih rendah daripada nilai sebenar syarikat, permintaan terhadap sarung tangan lateks meningkat berikutan penularan wabak H1N1. Ini menyebabkan saham-saham syarikat pembuat sarung tangan lateks melonjak sehingga mencecah 700% dalam tempoh 1 tahun. 


Sekiranya seseorang melabur sebanyak RM150,000 dalam syarikat-syarikat ini, beliau menjadi jutawan hanya dalam tempoh 1 tahun! Sekali lagi, ini hanya dilakukan dengan bergoyang kaki!!


Begitu juga halnya ketika kerajaan mengumumkan beberapa insentif bagi melonjakkan sektor minyak dan gas. Saham-saham syarikat minyak dan gas melonjak sehingga mencecah 400% dalam tempoh 3 tahun. 


Banyak lagi contoh lain yang menunjukkan potensi keuntungan bagi pelaburan dalam syarikat-syarikat yang yang mencatatkan lonjakan pendapatan secara bermusim. Ini memerlukan kemahiran yang lebih tinggi. Namun, ia mampu mendatangkan pulangan yang lebih besar dalam masa lebih singkat.




Apa yang perlu dilakukan sekarang?




Pertama, pastikan pendapatan bulanan anda diurus dengan baik. Kurangkan pembaziran dan pastikan sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan anda adalah untuk simpanan.


Kedua, pastikan simpanan bulanan anda itu dilaburkan secara tetap di tempat yang berisiko rendah seperti di Tabung Haji yang kadar agihan keuntungan tahunannya boleh membantu anda menambah kekayaan di masa hadapan. Jika anda bermula di usia muda, insha Allah, anda akan menjadi jutawan jika usia anda panjang! 


Ketiga, laburlah dalam ilmu. Jangan kedekut untuk melabur dalam ilmu. Katakan anda melabur sehingga RM10,000 untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran pelaburan anda. Nilai ini sebenarnya adalah kecil jika dibandingkan hasil yang akan anda perolehi nanti.


Keempat, laburkan wang yang 'anda tak kisah hilang' dalam syarikat-syarikat yang defensif atau 'selamat' untuk anda pegang selama-lamanya. Ini dilakukan berasaskan ilmu yang diperolehi dari langkah ketiga. Sekiranya pelaburan ini boleh menggandakan wang anda sebanyak 100% selewat-lewatnya pada setiap 5 tahun, anda akan menjadi jutawan selewat-lewatnya dalam tempoh 35 tahun dengan pelaburan asal  hanya RM10,000 dengan cara yang paling malas! Ini tidak termasuk dividen yang bakal diterima sepanjang tempoh tersebut yang biasanya sentiasa meningkat dari tahun ke tahun.


Kelima, jika kemahiran anda telah pun meningkat dan anda telah menjadi lebih yakin, laburkan sebahagian lagi wang yang 'anda tak kisah hilang' bagi pelaburan yang lebih agresif.


Dengan cara ini, anda mengagihkan pelaburan anda dengan tahap risiko yang berbeza. Apa yang pasti, lambat atau cepat, insha Allah, anda bakal menjadi kaya dengan cara malas!



Khamis, 19 April 2012

pelabuwan emas


Akhir-akhir ini saya sering ditanya mengenai pelaburan emas. Baru-baru ini juga ayah saya bertemu dengan seorang pengurus di Agro Bank. Beliau mengatakan bahawa di cawangan-cawangan Agro Bank sekarang penuh sesak dengan pelabur-pelabur emas. Peti-peti simpanan di bank juga telah habis ditempah. Ia seakan-akan menjadi kegilaan orang ramai ketika ini.

Sebenarnya bagi sesiapa yang mengikuti blog ini dari awal, saya telah pun menyebutkan tentang perkara ini kira-kira 4 tahun lepas. Malah, saya sendiri telah mula membeli emas lama sebelum itu iaitu ketika harga emas di bawah RM80.

Beberapa minggu lepas saya ditemui oleh seseorang yang ingin menawarkan suatu bentuk pelaburan emas. Dia mencadangkan saya membeli lebih kurang 1 kilogram emas daripadanya pada harga RM188 segram dengan hanya bermodalkan RM88,000 berdasarkan formula 40%/65%.

Caranya adalah dengan menggadaikan emas tersebut di mana-mana cawangan ar-Rahnu Bank Rakyat atau Agro Bank. Dengan itu, bank akan memberikan pinjaman sebanyak 65% daripada jumlah simpanan emas (gadaian) pada harga lebih kurang RM194.5 segram dan mengenakan caj 0.75% sebulan kepada penyimpan sebagai upah simpan. Hasil daripada pinjaman itu digunakan untuk membayar selebihnya kos pembelian emas tersebut manakala bakinya digunakan untuk membayar upah simpan selama 6 bulan.

Dengan kata lain, pelaburan itu dibuat dengan 40% modal sendiri dan 65% modal daripada bank.

Berikut adalah pengiraan yang dibuat:

Harga emas yang ditawarkan: RM188

berdasarkan formula 40%/65%, jumlah emas yang dapat dibeli dengan RM88,000 = (100 x RM88,000)/(40 x RM188/gram) = 1,170.21 gram

Pinjaman yang akan diperolehi hasil daripada gadaian pada nilaian RM194.5/gram: 1,170.21g x RM194.5 x 65% = RM147,943.80

Upah simpan pada kadar 0.75% sebulan: RM194.5 x 1,170.21g x 0.75% = RM1,707 sebulan

Baki wang= modal sendiri + pinjaman - kos 1kg emas
= RM(88,000+147,943.80-(188 x 1170.21g)
= RM15,943.80

Dengan anggapan bahawa harga emas akan meningkat RM20 dalam tempoh 6 bulan maka jumlah keuntungan yang dijangkakan adalah seperti berikut:

(RM20) x (jumlah emas) - (upah simpan x 6 bulan) + baki wang = RM20 x 1,170.21g - RM1,707 x 6 + RM15,943.80 = RM29,106

Peratus keuntungan = (RM29,106/RM88,000) x 100% = 33% dalam tempoh enam bulan.


Ulasan saya:


Saya pasti selain beliau, ramai lagi yang menawarkan pelaburan sedemikian. Sekiranya emas yang dijual itu tulen maka bagi saya ia adalah suatu bentuk pelaburan yang bijak jika dibuat pada masa yang tepat.

Ramai yang menganggap bahawa harga emas sentiasa meningkat dan menganggap pelaburan emas tidak mempunyai sebarang risiko. Ini tidak benar.

Sebagai contoh, dalam tempoh 8 bulan lepas, harga emas telah menurun sebanyak kira-kira RM30 - RM40. Sekiranya seseorang membuat pelaburan seperti di atas pada 8 bulan lepas, maka dia telah pun kerugian sebanyak lebih kurang RM35,000 dan kos simpanan sebanyak RM15,200. Mungkin sahaja dia boleh menunggu sehingga harga emas kembali ke nilai asal. Namun, jika kenaikan itu mengambil masa 8 bulan, maka dia memerlukan sekurang-kurangnya kenaikan sebanyak RM65 dalam tempoh tersebut bagi menampung kos simpanannya yang meningkat ke RM30,000.

Selain itu, harga emas juga pernah merudum sebanyak kira-kira 40% dari Februari 1996 hingga Ogos 1999. Mereka yang membeli emas pada Februari 1996 perlu menunggu sehingga Januari 2004 untuk harga emas kembali ke nilai asalnya.

Itulah sebabnya saya menekankan bahawa pelaburan ini adalah baik sekiranya dilakukan tepat pada masanya. Mungkin ramai yang tertarik dengan teknik pelaburan ini kerana keuntungan "33% dalam masa 6 bulan". Namun kita juga perlu ingat bahawa dengan teknik ini juga risikonya turut berganda.

Seseorang itu juga perlu mengetahui teknik membaca pasaran bagi mengetahui "timing" yang sesuai. Kita tidak boleh membuat pelaburan dengan sekadar "dengar-dengar" atau berdasarkan "cakap-cakap" orang ramai semata-semata.

Pelabur billionair terkemuka, Warren Buffett juga berulang-ulang kali menyebutkan, "When the crowd is greedy, you must be fearful; when the crowd is fearful, you must be greedy."

Sekiranya seseorang tidak menguasai pasaran dan tidak biasa mengambil risiko, maka lebih baik dia bersikap kurang agresif dalam pelaburannya. Tidak untung atau kurang untung adalah lebih baik daripada kehilangan wang.

Warren Buffett menyebutkan:

Rule 1: Don't lose money.
Rule 2: Don't forget Rule 1.


Sebagai contoh, anda mempunyai modal RM1000. Katakan anda kerugian 50% daripada modal anda dalam sebuah pelaburan. Maka wang anda hanya tinggal RM500. Bagi mendapatkan wang anda yang hilang itu, anda perlu memastikan anda mendapat keuntungan sebanyak RM500 daripada modal pelaburan yang hanya tinggal RM500 itu. Ini bermakna anda perlu mendapatkan 100% keuntungan. Dengan kata lain, jika anda rugi 50%, anda memerlukan keuntungan 100% untuk mendapatkan kembali wang anda yang hilang!


Itulah sebabnya para pelabur profesional lebih bersikap defensive dalam pelaburan mereka. Mereka mengkaji pasaran dengan teliti dan mengurus risiko dengan bijak.

Saya bukanlah melarang sesiapa untuk membuat pelaburan emas. Saya hanya ingin mengingatkan tentang risiko dalam sesuatu pelaburan. 

Mungkin bagi mereka yang tidak menguasai pasaran, menyimpan emas sahaja tanpa membuat gadaian seperti di atas adalah lebih selamat. Membeli gold bullion adalah lebih murah iaitu nilai terkini lebih kurang RM165 segram dengan spread yang rendah iaitu hanya sekitar RM7. Terdapat juga bank yang menawarkan akaun simpanan emas yang patuh syariah seperti di Kuwait Finance House. Ia lebih selamat kerana risiko dalam penyimpanan emas itu ditanggung oleh pihak bank.

Sekadar ingatan..



Disclaimer:

Penulisan di atas bukanlah cadangan untuk membeli atau menjual. Ia hanya merupakan pandangan peribadi dan maklumat umum. Ia bukanlah nasihat pelaburan. Apa-apa tindakan yang anda ambil hasil daripada penulisan ini adalah atas tanggungjawab anda sendiri. Pelaburan adalah melibatkan risiko dan sila dapatkan konsultasi daripada penasihat pelaburan anda.