CAT-tegories:

Khamis, 19 April 2012

pelabuwan emas


Akhir-akhir ini saya sering ditanya mengenai pelaburan emas. Baru-baru ini juga ayah saya bertemu dengan seorang pengurus di Agro Bank. Beliau mengatakan bahawa di cawangan-cawangan Agro Bank sekarang penuh sesak dengan pelabur-pelabur emas. Peti-peti simpanan di bank juga telah habis ditempah. Ia seakan-akan menjadi kegilaan orang ramai ketika ini.

Sebenarnya bagi sesiapa yang mengikuti blog ini dari awal, saya telah pun menyebutkan tentang perkara ini kira-kira 4 tahun lepas. Malah, saya sendiri telah mula membeli emas lama sebelum itu iaitu ketika harga emas di bawah RM80.

Beberapa minggu lepas saya ditemui oleh seseorang yang ingin menawarkan suatu bentuk pelaburan emas. Dia mencadangkan saya membeli lebih kurang 1 kilogram emas daripadanya pada harga RM188 segram dengan hanya bermodalkan RM88,000 berdasarkan formula 40%/65%.

Caranya adalah dengan menggadaikan emas tersebut di mana-mana cawangan ar-Rahnu Bank Rakyat atau Agro Bank. Dengan itu, bank akan memberikan pinjaman sebanyak 65% daripada jumlah simpanan emas (gadaian) pada harga lebih kurang RM194.5 segram dan mengenakan caj 0.75% sebulan kepada penyimpan sebagai upah simpan. Hasil daripada pinjaman itu digunakan untuk membayar selebihnya kos pembelian emas tersebut manakala bakinya digunakan untuk membayar upah simpan selama 6 bulan.

Dengan kata lain, pelaburan itu dibuat dengan 40% modal sendiri dan 65% modal daripada bank.

Berikut adalah pengiraan yang dibuat:

Harga emas yang ditawarkan: RM188

berdasarkan formula 40%/65%, jumlah emas yang dapat dibeli dengan RM88,000 = (100 x RM88,000)/(40 x RM188/gram) = 1,170.21 gram

Pinjaman yang akan diperolehi hasil daripada gadaian pada nilaian RM194.5/gram: 1,170.21g x RM194.5 x 65% = RM147,943.80

Upah simpan pada kadar 0.75% sebulan: RM194.5 x 1,170.21g x 0.75% = RM1,707 sebulan

Baki wang= modal sendiri + pinjaman - kos 1kg emas
= RM(88,000+147,943.80-(188 x 1170.21g)
= RM15,943.80

Dengan anggapan bahawa harga emas akan meningkat RM20 dalam tempoh 6 bulan maka jumlah keuntungan yang dijangkakan adalah seperti berikut:

(RM20) x (jumlah emas) - (upah simpan x 6 bulan) + baki wang = RM20 x 1,170.21g - RM1,707 x 6 + RM15,943.80 = RM29,106

Peratus keuntungan = (RM29,106/RM88,000) x 100% = 33% dalam tempoh enam bulan.


Ulasan saya:


Saya pasti selain beliau, ramai lagi yang menawarkan pelaburan sedemikian. Sekiranya emas yang dijual itu tulen maka bagi saya ia adalah suatu bentuk pelaburan yang bijak jika dibuat pada masa yang tepat.

Ramai yang menganggap bahawa harga emas sentiasa meningkat dan menganggap pelaburan emas tidak mempunyai sebarang risiko. Ini tidak benar.

Sebagai contoh, dalam tempoh 8 bulan lepas, harga emas telah menurun sebanyak kira-kira RM30 - RM40. Sekiranya seseorang membuat pelaburan seperti di atas pada 8 bulan lepas, maka dia telah pun kerugian sebanyak lebih kurang RM35,000 dan kos simpanan sebanyak RM15,200. Mungkin sahaja dia boleh menunggu sehingga harga emas kembali ke nilai asal. Namun, jika kenaikan itu mengambil masa 8 bulan, maka dia memerlukan sekurang-kurangnya kenaikan sebanyak RM65 dalam tempoh tersebut bagi menampung kos simpanannya yang meningkat ke RM30,000.

Selain itu, harga emas juga pernah merudum sebanyak kira-kira 40% dari Februari 1996 hingga Ogos 1999. Mereka yang membeli emas pada Februari 1996 perlu menunggu sehingga Januari 2004 untuk harga emas kembali ke nilai asalnya.

Itulah sebabnya saya menekankan bahawa pelaburan ini adalah baik sekiranya dilakukan tepat pada masanya. Mungkin ramai yang tertarik dengan teknik pelaburan ini kerana keuntungan "33% dalam masa 6 bulan". Namun kita juga perlu ingat bahawa dengan teknik ini juga risikonya turut berganda.

Seseorang itu juga perlu mengetahui teknik membaca pasaran bagi mengetahui "timing" yang sesuai. Kita tidak boleh membuat pelaburan dengan sekadar "dengar-dengar" atau berdasarkan "cakap-cakap" orang ramai semata-semata.

Pelabur billionair terkemuka, Warren Buffett juga berulang-ulang kali menyebutkan, "When the crowd is greedy, you must be fearful; when the crowd is fearful, you must be greedy."

Sekiranya seseorang tidak menguasai pasaran dan tidak biasa mengambil risiko, maka lebih baik dia bersikap kurang agresif dalam pelaburannya. Tidak untung atau kurang untung adalah lebih baik daripada kehilangan wang.

Warren Buffett menyebutkan:

Rule 1: Don't lose money.
Rule 2: Don't forget Rule 1.


Sebagai contoh, anda mempunyai modal RM1000. Katakan anda kerugian 50% daripada modal anda dalam sebuah pelaburan. Maka wang anda hanya tinggal RM500. Bagi mendapatkan wang anda yang hilang itu, anda perlu memastikan anda mendapat keuntungan sebanyak RM500 daripada modal pelaburan yang hanya tinggal RM500 itu. Ini bermakna anda perlu mendapatkan 100% keuntungan. Dengan kata lain, jika anda rugi 50%, anda memerlukan keuntungan 100% untuk mendapatkan kembali wang anda yang hilang!


Itulah sebabnya para pelabur profesional lebih bersikap defensive dalam pelaburan mereka. Mereka mengkaji pasaran dengan teliti dan mengurus risiko dengan bijak.

Saya bukanlah melarang sesiapa untuk membuat pelaburan emas. Saya hanya ingin mengingatkan tentang risiko dalam sesuatu pelaburan. 

Mungkin bagi mereka yang tidak menguasai pasaran, menyimpan emas sahaja tanpa membuat gadaian seperti di atas adalah lebih selamat. Membeli gold bullion adalah lebih murah iaitu nilai terkini lebih kurang RM165 segram dengan spread yang rendah iaitu hanya sekitar RM7. Terdapat juga bank yang menawarkan akaun simpanan emas yang patuh syariah seperti di Kuwait Finance House. Ia lebih selamat kerana risiko dalam penyimpanan emas itu ditanggung oleh pihak bank.

Sekadar ingatan..



Disclaimer:

Penulisan di atas bukanlah cadangan untuk membeli atau menjual. Ia hanya merupakan pandangan peribadi dan maklumat umum. Ia bukanlah nasihat pelaburan. Apa-apa tindakan yang anda ambil hasil daripada penulisan ini adalah atas tanggungjawab anda sendiri. Pelaburan adalah melibatkan risiko dan sila dapatkan konsultasi daripada penasihat pelaburan anda.