CAT-tegories:

Jumaat, 13 Mac 2009

penggunaan perkataan Allah oleh non-muslim



Setelah lebih setahun isu ini ditimbulkan, baru-baru ini isu ini menjadi hangat sekali lagi.  Sebenarnya pada hujung tahun 2006 lagi saya telah pun mengulas dengan agak panjang berkenaan isu ini.

Malah, pada ketika itu saya mengeluarkan pandangan yang berbeza dengan majority masyarakat muslim di Malaysia.  Saya berpendapat kita tidak perlu membuat larangan penggunaan perkataan ‘Allah’ ke atas non-muslim.  Pandangan saya ini mengundang perdebatan yang hangat di forum abumeow@yahoogroups. Ia memakan masa hampir sebulan! (Sila rujuk di sini

Namun pada hari ini saya dapat lihat banyak pihak juga yang telah mula mengeluarkan pendapat yang hampir sama dengan pendapat saya sebelum ini.  

Di sini saya tidak lagi mahu mengulas panjang berkenaan isu ini. Cuma, saya ingin mengutarakan beberapa perkara pokok yang seharusnya diberi perhatian bagi menjelaskan kefahaman kita dalam melihat isu ini.


1. Aspek hukum


Dari segi hukum, jelas sekali Islam tidak melarang penggunaan perkataan ‘Allah’ oleh golongan non-muslim. Ini dapat di lihat dalam dalil-dalil berikut:
 
“Dan jika kamu bertanya kepada mereka tentang siapakah yang telah menciptakan langit, bumi, serta menundukkan matahari dan bulan pasti mereka akan menjawab, “Allah.”” 
(al-Ankanbut 61)
 
“Katakanlah, “Siapakah yang memberikan rezeki kepadamu dari langit dan bumi, siapakah yang mampu (menciptakan) pendengaran dan penglihatan, siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati, siapakah yang mengeluarkan yang mati dari yang hidup, dan siapakah yang mengatur segala urusan?”  Mereka akan menjawab, “Allah.”  Katakanlah, “Mengapa kamu tidak bertaqwa (kepadaNya).”” 
(Yunus 31)
 
Ini menunjukkan bahawa kaum musyrikin makkah telah pun menggunakan perkataan ‘Allah’. Tetapi misi RasuluLLah bukanlah untuk melarang mereka menggunakan perkataan ‘Allah’ ini, tetapi untuk membawa mereka kepada Tauhid.  

“Dan sesungguhnya Kami telah mengurus Rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan), “Sembahlah Allah (sahaja) dan jauhilah thoghut.”” 
(an-Nahl 16:36)
 
Itulah sebabnya kita tidak dapat menemui apa-apa larangan daripada Rasul SAW bagi orang-orang musyrik menggunakannya.
 
Al-Quran juga menerangkan bahawa orang-orang Kristian pada zaman Nabi Muhammad SAW. juga menyembah Allah.


 
“Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu, dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar. Sesungguhnya Al Masih, Isa putera Maryam itu, adalah utusan Allah dan (yang diciptakan dengan) kalimat-Nya yang disampaikan-Nya kepada Maryam, dan (dengan tiupan) roh dari-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan rasul-rasul-Nya dan janganlah kamu mengatakan: "(Tuhan itu) tiga", berhentilah (dari ucapan itu). (Itu) lebih baik bagimu. Sesungguhnya Allah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah dari mempunyai anak, segala yang di langit dan di bumi adalah kepunyaan-Nya. Cukuplah Allah menjadi Pemelihara.” 
(an-Nisa’ 4:171)
 
“Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Sesungguhnya Allah ialah Al Masih putera Maryam", padahal Al Masih (sendiri) berkata: "Hai Bani Israil, sembahlah Allah Tuhanku dan Tuhanmu." Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya surga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolongpun.” 
(Al-Maidah 5:72)
 
“Katakanlah: "Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai tuhan selain Allah." Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)."” 
(Ali Imran 3:64)
 
Tetapi sekali lagi kita lihat tiada larangan ke atas mereka untuk menggunakan perkataan ‘Allah’ namun sebaliknya Nabi SAW menyeru mereka kepada tauhid.
 
Di sini juga dapat dilihat bahawa mereka tidak mentauhidkan Allah, iaitu dengan menyembah tuhan-tuhan ciptaan mereka serta memberikan sifat-sifat yang tidak sepatutnya dan selayaknya bagi Allah.  

Ini sekaligus menolak pandangan pihak-pihak tertentu yang mendakwa bahawa non-muslim dilarang untuk menggunakan perkataan Allah kerana mereka melakukan syirik dengan menyembah tuhan-tuhan selain Allah serta memberikan sifat-sifat yang tidak selayaknya bagiNya.



Maka jelaslah bahawa menurut Islam tiada larangan bagi bukan Islam daripada menggunakan perkataan ‘Allah.’
 
Ketua Pengarah JAKIM telah memberi kenyataan dalam media bahawa kitab-kitab orang kristian tidak pernah menggunakan nama Allah di mana-mana negara di seluruh dunia.

Kenyataan ini tidak benar.  

Orang-orang arab kristian telah lama menggunakan nama ‘Allah’.  Bible arab juga menggunakan perkataan ‘Allah’.  Malah, jika dibuka muka surat pertama daripada Bible Bahasa Arab pada Book of Genesis, chapter 1, terdapat 17 perkataan 'Allah'!  Ini baru muka surat pertama!


Sebahagian daripada muka surat pertama Bible dalam Bahasa Arab.

Perkara ini digunakan sebagai ‘selling point’ oleh seorang pendakwah terkenal, iaitu Sheikh Fadel Soliman bagi menarik golongan non-muslim di barat untuk menerima Islam.



Sheikh Fadel Soliman menggunakan perkataan 'Allah' dalam Bible 
sebagai 'selling point' dalam dakwahnya.


Petikan dokumentari "The Fog is Lifting" yang menunjukkan perkataan 'Allah' 
muncul sebanyak 17 kali di muka surat pertama Bible dalam Bahasa Arab.

2. Kemaslahatan umat Islam


Perkara yang menjadi persoalan sekarang adalah samaada jika dibenarkan pihak non-muslim menggunakan perkataan Allah dalam Bible dan penulisan mereka yang lain, ia boleh mengancam akidah umat Islam atau tidak.

Jadi di sinilah timbulnya isu samaada wajar diteruskan larangan itu atau tidak.  Maka isu ini bukanlah isu hukum tetapi sebaliknya adalah isu menjaga kemaslahatan umat Islam. 

Banyak pihak yang bimbang bahawa terdapatnya agenda tersembunyi pihak Kristian di sebalik tuntutan mereka ini.  Ramai juga yang khuatir ia akan membawa kekeliruan terhadap umat Islam seterusnya menjejaskan akidah mereka.

Namun, semasa awal isu ini timbul, iaitu sekitar Disember 2006, saya memberikan reaksi yang berbeza.  Saya lebih melihat isu ini dari perspektif dakwah.   Lalu saya berpendapat bahawa non-muslim perlu dibenarkan untuk menggunakan perkataan ‘Allah’.

Saya tidak berniat mengulas panjang di sini.  Sesiapa yang berminat, bolehlah membacanya di forum abumeow@yahoogroups yang dikendalikan oleh rakan-rakan saya. Sila klik di sini untuk membaca perbahasan tersebut.

Bagi saya, kalaupun pandangan saya tidak tepat, sekurang-kurangnya saya telah pun membuka mata masyarakat untuk melihat isu ini dari perspektif yang berbeza.


3. Pemerkasaan akidah vs penguatkuasaan undang-undang



Saya juga telah menyebutkan tentang kepentingan pemerkasaan akidah berbanding undang-undang.  Alhamdulillah, baru-baru ini bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin  juga ada menulis perkara yang sama dalam artikel beliau.

Ramai orang berpendapat bahawa sekiranya diadakan hukuman bunuh ke atas mereka yang murtad, kita akan dapat membendung gejala ini.  Mungkin ia benar.  Tetapi kita jangan lupa bahawa mereka boleh murtad secara senyap-senyap.  Mereka juga boleh murtad di luar negara.

Begitu juga halnya dalam isu ini. Kita boleh menghalang mereka daripada menggunakan perkataan 'Allah'.  Namun, itu tidak bermakna ia boleh menghilangkan ancaman terhadap akidah umat Islam.

Itulah sebabnya kita perlu melihat Islam secara keseluruhan, bukan hanya sebahagian-sebahagian.  Undang-undang bukanlah segala-galanya.  Kita perlu ingat bahawa Islam juga merangkumi aspek-aspek lain yang tidak boleh kita abaikan.  

Selain itu, kita juga harus bijak menilai keutamaan atau awlawiyaat dalam perkara ini.

Ramai orang melihat undang-undang merupakan perkara yang lebih besar atau utama daripada pemerkasaan akidah.  Ini kerana undang-undang dilaksanakan di peringkat negara manakala akidah pula adalah di peringkat individu.

Akan tetapi, akidah adalah asas (foundation) kepada umat Islam.  Oleh demikian, akidah adalah perkara yang lebih utama. Apalah gunanya sebuah bangunan yang besar, tinggi dan tersergam indah kalau asasnya lemah.  Bangunan tersebut boleh runtuh pada bila-bila masa.



Itulah sebabnya kita tidak dapat menemui mana-mana kitab yang ditulis oleh para ulama’ Islam yang memulai perbahasan mereka dengan topic undang-undang melainkan kitab yang dikhususkan untuk membahaskan tentang topic tersebut. Kebanyakannya bermula dengan kitab/bab ilmu atau iman.  Kitab-kitab fiqh pula biasanya dimulai dengan bab Thaharah (bersuci) yang menjadi syarat bagi solat, dan bukan persoalan hudud.  Ini kerana solat adalah salah satu daripada rukun Islam, manakala bab undang-undang tidak terkandung dalam rukun Islam mahupun rukun iman.

Oleh demikian, kita hendaklah mengutamakan persoalan akidah TANPA memandang remeh terhadap isu undang-undang. 

Tetapi malangnya tumpuan masyarakat lebih kepada melindungi akidah umat Islam dengan perlindungan undang-undang dan bukannya dengan pemerkasaan akidah.  Inilah seharusnya menjadi perkara yang patut kita bimbang.

Penyelesaian yang didapati daripada undang-undang adalah bersifat sementara (temporary) manakala kekuatan akidah adalah merupakan kubu pertahanan yang kekal.  Dalam merawat sesuatu penyakit, kita seharusnya ‘address’ punca (cause) penyakit tersebut dan bukanlah symptom.

Insha Allah, di masa akan datang saya akan menyentuh lebih lanjut tentang kelemahan pengajian akidah di Malaysia.

WaLLahu a’alam.